Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Tuesday, August 9, 2011

Al Quran

Alhamdulillah, masuk hari ke 10 Ramadhan, azam menjelang Ramadhan dahulu masih lagi terlaksana. Azamnya ialah untuk khatam al quran sekali dalam bulan ini dan menghafal beberapa surah dalam juzuk 30. Sekurang-kurangnya tak jadi hafiz alquran 30 juzuk, hafiz juzuk ke 30 pun syukurlah.

Programnya ialah membaca alquran sambil membaca terjemahannya. Perlahan-perlahan. Faham untuk sepintas lalu. Alhamdulillah, sehingga kini berjalan lancar dan semoga berterusan sehingga ke akhir Ramadhan nanti.

Ketika ini perasaannya seperti dibuai dan dibelai dengan penceritaan al quran ini. Perasaan gembira, sedih, takut, geram, marah, insaf, tertanya-tanya saling mengambil tempat bergilir-gilir di hati ini ketika melungsur satu persatu ayatnya. Subhanallah.

Maka berjumpalah ayat 124-125 dalam surah at taubah. Na'uzubillah min zalik.

"124:Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka ada yang berkata, "Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, dan mereka merasa gembira. 125: Dan adapun orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit, maka (dengan surah itu) akan menambah kekafiran mereka yang telah ada dan mereka akan mati dalam keadaan kafir."

Membaca al quran juga boleh menambahkan kekufuran hamba-Nya. Memang itu janji Allah. Beriman kepada-Nya, nescaya Allah tambahkan dan kukuhkan keimanan itu. Kufur kepada Nya, maka akan bertambah-tambah kekafirannya dan akan mati dalam keadaan kafir.

Membaca dan mengkaji al quran, jika diiringi hati yang ikhlas dan mahu mencari kebenaran, maka kukuhlah iman itu, membaca al quran dengan hati yang rosak dan niat yang jahat, maka kekal lah pembacanya seperti seadanya bahkan menjadi lebih dahsyat rosaknya.

Selamat membaca alquran. selamat memahami maksud dan kandungan al quran. Selamat beramal dengan anjuran dan perintah nya.


Monday, May 24, 2010

Istana Kayangan

Tenang hati dapat menikmati suasana Kundasang yang indah dan permai. Walaupun kehadiran di sini kerana keperluan tugas, namun alhamdulillah, dapat juga membawa isteri dan anak-anak bersama.

Kebesaran Ilahi.. sungguh gah menjadi pasak kepada kepualauan Borneo ini. Namun gahnya mudah hilang dengan kepulan awan yang meliputinya. Justeru ia dihayati dan dihargai tatkala kebesarannya menjelma..

Thursday, January 14, 2010

Membaca jambatan ilmu.

Rajin adik rajin
rajinlah belajar
bila besar nanti
boleh tunjuk ajar
ayah juga ibu
gembira selalu
melihat adikku
rajin baca buku.


























Saturday, July 4, 2009

Menjengah Brunei Darussalam

Brunei Darussalam, negera bersultan, kaya dengan hasil minyaknya. Rakyatnya dianugerahi limpahan nikmat dan kekayaan. Islam dijadikan tunjang akidah dan prinsip.

Orang Malaysia memang agak cemburu dengan negara ini. Cuba dibawa untuk merdeka bersama Malaysia pada tahun 1963; tetapi ditolak oleh rakyat Brunei melalui gerakan Azharinya. Hanya pada tahun 1985 Brunei merdeka.

Apapun, negara ini makmur dek minyaknya. Negara ini bolehlah dikatakan negara yang menjaga rakyatnya.

Kunjungan 3 hari 3 malam saya di negara ini adalah untuk menyertai Kejohanan Sukan Staf Universiti-universiti Borneo kali ke-dua yang kali ini dianjurkan oleh Universiti Brunei Darussalam. Lebih tepat lagi mewakili Universiti Malaysia Sabah sebagai pemain tenpin boling di kejohanan ini. Alhamdulillah pasukan bolimg ini berjaya membawa balik 2 emas 1 perak. Mission accomplished. He he..




Selain pingat tersebut ada lagi perkara berharga yang dibawa balik, sedikit pengalaman dan pengajaran. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan.

1. Negara ini bolehlah dikategorikan sebagai negara islam (daral Islam). Pemerintahan monarki ini amat menitik beratkan amalan dan syiar Islam. Saya tak nampak kedai loteri dan arak sepanjang berada di sini. Malah rokokpun tak dilihat dijual di mana-mana. Syiar Islamnya boleh dilihat dan dirasa di mana-mana tempat. Azan akan dikumandangkan di tempat-tempat umum apabila tiba waktunya melalui sistem pembesar suara. Hatta di dalam kapalterbangnya pun, kapal tidak akan terbang sekiranya doa naik kenderaan dan musafir tidak dibacakan.

2. Kereta di sini mewah-mewah belaka. Mungkin kerana tiada cukai tidak seperti di negara kita. Tol pun tiada. Jalanrayanya amat baik. Fakta menariknya ialah polis akan adakan sekatan jalanraya setiap hujung bulan setelah kebanyakan rakyat menerima gaji. Senang nak bayar saman nanti. Seperkara lagi pemandu di pekan dan di bandar amat berhemah. Pantang ada orang melintas jalan, pasti kereta berhenti memberi laluan.

3. Minyak adalah sumber utama pendapatan negara ini. Harga minyak Brunei adalah antara yang paling murah di Asia Tenggara. Tapi jangan bawa kenderaan sendiri yang tidak didaftarkan di Brunei. Harga minyaknya lebih mahal dan hanya boleh didapati dibeberapa buah stesen minyak sahaja. Sengsara juga kalau bawa kereta sendiri.

4. Kalau makan di sini carilah nasi katok. Nasi bungkus dengan ayam goreng dicampur dengan kuah sambal memang menyelerakan dan juga mengenyangkan. Harga murah sahaja iaitu sekitar 1 ringgit Brunei sahaja. Seperkara lagi, nasi di sini adalah dari jenis beras wangi sahaja. Beras nasional Bernas memang tak jumpa.

5. Bahasa menunjukkan bangsa.Bangsa Brunei berusaha mengekalkan tulisan jawinya. Papan tanda dan banting yang ada pasti dimulai dengan tulisan jawi dahulu sebelum diikuti dengan tulisan-tulisan lain.






6. Saya mencari-cari kawasan industri tapi mendapati industri perkilangan agak kurang di sini. Mungkin kerana masih bergantung sepenuhnya dengan sumber minyaknya.

Sunday, June 28, 2009

Sukaneka PASTI

Agak lama saya tak masuk ke dalam stadium bola sepak Likas. 1995 dan 1996 dahulu selalu datang ke sini untuk melihat pasukan Sabah bermain. Ketika itu kelibat Matlan Marjan, Scott Ole, Khairul Azman dll. Memang zaman kegemilanganlah masa tu.

Kunjungan saya hari ini adalah untuk meraikan hari sukaneka PASTI. Anak saya yang ketiga, saya masukkan ke PASTI KiNGFISHER. Sebelum ini di Tadika Ria Yayasan Sabah. Isteri dan saya memindahkannya ke PASTI ini oleh faktor 'convenient' memandangkan ketiadaan pembantu rumah semenjak Mei yang lalu.

Ramai juga yang datang. Maklumlah sukaneka ni dibuat di peringkat zon pantai barat. Meriah.

Tahniah kepada pihak PASTI.



Sunday, May 31, 2009

Alumni ku

31 Mei 2009, dua majlis alumni saya telah hadiri. Tengaharinya alumni UIAM Sabah Chapter. Tahniah saya ucapkan kepada saudara Mokhtar and the gang yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis yang julung kali diadakan ini.

Turut hadir menyerikan majlis ini ialah Prof Dr Sidek Baba dari UIAM dan hampir 70 orang bekas pelajar UIAM.

Insya Allah, alumni UIAM Sabah Chapterf akan berjaya didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan mesyuarat agongnya dapat dibuat selewat-lewatnya tahun hadapan.

Sampai masanya tenaga yang ada digembeling untuk memberi semula kepada masyarakat dan UIAM.






*****

Pada malamnya pula saya hadir majlis makan malam alumni SMU Limauan 77-88.

Berbeza dengan alumni UIAM, alumni ini digerakkan dengan kuatnya oleh bekas pelajarnya terutama pelajar generasi pertama dan keduanya.

Memang terharu apabila dapat berjumpa kembali beberapa rakan sekelas setelah 20 tahun.

Banyak yang telah berlaku sehingga kini. Namun memori SMU Limauan tetap kekal diingatan. Limauan, tempat bermandi lumpur. Ketawa dan menangis. Diajar dan dididik. Walau singkat. Jasa baktinya dikenang sentiasa.

Thursday, April 16, 2009

Soal Jawab

Memang minggu ini agak menekan bagi ramai rakan pegawai saya di UMS. Minggu ini adalah minggu 2 audit iaitu audit sistem pengurusan UMS berdasarkan standard MS ISO yang dilakukan oleh pihak SIRIM. Dalam pada yang sama juga audit dalaman MQA juga dilaksanakan kepada banyak sekolah dan jabatan. Memang berasap!

Minggu ini juga berlangsung Ujian Tahap Kcekapan 1 bagi gred 41. Saya diamanahkan untuk menjadi ketua pengawas bagi ujian ini. Kesian melihat rakan-rakan pegawai yang bergelut menjawab soalan-soalan yang diberi dalam tempoh 3 jam itu.

Maka apabila selesai sesi ujian berkenaan, saya pun sajalah berseloroh kepada mereka dengan mengatakan bahawa hidup kita ini memang penuh dengan ujian sejak darjah satu sehinggalah kini. Mungkin tak perlulah risau kerana tahun ini adalah tahun terakhir ujian PTK dibuat secara bertulis. Lepas ni tak ada dah lagi.

Maka sekonyong-konyong terkeluar satu respon daripada salah-seorang daripada mereka iaitu:
" Memang yang terakhir di dunia. Tapi ada satu lagi ujian paling besar yang kena dihadapi lagi-ujian di Padang Mahsyar!!"

Hemm.. betul tu puan. Pasti.

Monday, April 13, 2009

Apa bukti kebaikan?

30 Mac 2009: Perhimpunan Jabatan Pendaftar telah diadakan dan dihoskan oleh Bahagian Keselamatan di perkarangan Bangunan Keselamatan yang baru siap ini.

Maka berpesanlah Pendaftar kepad seluruh anak buahnya untuk berusaha gigih memberikan khidmat yang terbaik kepada UMS.

Suasana 'feel good' yang ada pada Jumaat yag lalu masih ada. Maka beliau bertanyalah kepada kami yang sedang kepanasan berjemur ini, apa bukti kebaikan yang telah kita buat?

Bukti kebaikan yag kita buat selalunya dapat dari maklumbalas yang positif dan baik daripada pihak ketiga. Maksudnya kita tidaklah merasa 'syok' sendiri sedangkan orang lain bercakap sebaliknya mengenai kita.

Mungkin juga.

Mungkin juga.

"Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain"

Hari Ini Dalam Sejarah

27 Mac 2009: Saya fikir sejarah tersendiri telah dicapai oleh Jabatan saya apabila telah membolot 3 hadiah yang ditawarkan semasa berlangsungnya sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat UMS.


Saya yakin program pertandingan yang dianjurkan adalah tidak lebih daripada usaha pearik kepada kakitangan UMS untuk hadir meraikan program sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti ini.


Program sambutan ini telah dimulakan denga penghakiman terhadap sepanduk yang dibawa oleh setiap kontinjen. Seterusnya perarakan kontinjen bermula dari perkarangan letak kereta Masjid UMS menuju ke Dewan Canselor. Taklah jauh. Saya fikir sekitar 2 KM sahaja.


Majlis Sambutan diteruskan lag di dalam Dewan Canselor degan ucapan Naib Canselor dan Dekan Sekolah Sains dan Teknologi. Kemudiannya diisi dengan ceramah oleh Al Fadhil Ustaz Nicholas Sylvester. Ustaz Nicholas banyak bercerita mengenai pengalamannya sebelum memeluk Islam dan perjalanan dirinya hidup di bawah naungan hidayah Ilahi. Tak lama ceramahnya sekitar 30 minit sahaja. Mesejnya jelas dan mudah.


Program sambutan in telah diakhiri dengan pengumuman pertandingan-pertandingan yang dijalankan sempena sambutan maulidur rasul ini.


Walah.... Jabatan Pendaftar tanpa disangka diumumkan Johan bagi Kontinjen Terbaik, Sepanduk terbaik dan Peserta Paling Ramai.


Baguslah tu, adalah diharapkan ini semua tanda-tanda kemajuan dan kesungguhan Jabatan Pendaftar untuk membangun dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga UMS

Cuti Panjang

Mungkin lama juga saya tidak bercuti panjang dan menghabiskan cuti itu jauh dari rumah.

Alhamdulillah, rancangan bercuti balik ke kampung di Malaka menjadi kenyataan pada 14-19 Mac 2009 yang lalu.

Seronok melihat gembiranya anak-anak ketika itu.

Perasaan sayu juga timbul meihat atuk sebelah bonda yang sudah semakin uzur.

Terperajat melihat adat menjunjung pengantin hidup semula. Tahniahlah Zahia, sepupu saya yang bertemu jodoh dengan lelaki jawa Klangnya itu.

Sepanjang bercuti, tutup mata saja melihat duit yang ada habis dibelanjakan.

Paling sedih, apabila semua kenangan itu tak dapat ditunjukkan dengan sesiapa oleh kerana kamera yang dibawa tercicir entah di mana pada hari-hari akhir bercuti.

Wah wawa awaa...

Saturday, February 7, 2009

P R O / G R O

Minggu ni sibuk melayan tetamu dari seluruh universiti tempatan. UMS sedang menganjurkan Konvensyen KIK peringkat IPTA sehingga 9 Feb 2009.

Saya dilantik sebagai Ketua JK Penginapan. Tak lah susah. Tapi kenalah tunggu sampai habis. Walaupun setiap perkara ada pegawainya, bila kejadian sebenar, kenalah juga ambik perhatian apa-apa keperluan tetamu.

Terima kasih lah AJK saya. Fauziah,Mariani, Johaidi, Mark, dan Yan.

Dah jadi macam PRO DAH. Baik tak jadi GRO

Tuesday, January 27, 2009

Jom Senam!

Badan sihat akal sihat hidup ceria. Itulah yang ingin dicapai apabila Jabatan Pendaftar menganjur program Jom Outdoor pada 24 Januari yang lalu.

Macam-macam aktiviti diatur pada program ini. Bermula dengan sembang-sembang senaman, memanas badan dengan Tai Chi, naik bukit, derma darah, refleksologi, pertandingan cipta slogan dan kira anak tangga.

Saya fikir program ini berjaya. Penyertaan menyeluruh dari staf pentadbiran, akademik, pelajar dan masyarakat luar. Datuk K dan Datin Ann ada, TNC A&A ada, Dekan SPTA ada, Dekan SPE ada, Ketua Perpustakaan ada, Pendaftar lagilah kena ada.

Moral ceritanya, ambil beratlah kesihatan, banyak bersenam. Apabila sihat hidup ceria. Banyak perkara dapat dibuat. Ustaz Sarip Adul ada kata 'senaman hanya alat untuk sihat dan seterusnya lebih kuat untuk melaksanakan tuntutan ilahi'.

Jadi apa lagi, jomlah bersenam!!!





Wednesday, December 24, 2008

KURSUS LAGI

Selama 2 hari saya berada di Port Dickson. Bermula Ahad sehingga Selasa.

Tujuannya adalah untuk mengikuti Kursus Asas Penggubalan Undang-undang. Dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan dihadiri oleh semua ahli Majlis Penasihat Undang-undang IPTA..

Ia diwajibkan dengan hasrat menyediakan semua pegawai berkaitan di IPTA pengetahuan dan kemahiran selok belok penggubalan undang-undang.

Ia relevan apabila Parlimen pada 18 Disember lalu telah meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Bagi pelajar dan ahli politik terutama pihak pembangkang, AuKU dianggap 'draconian law' dan penyebab kelesuan pelajar. Mungkin betul. Atau mungkin ia dijadikan alasan paling mudah. Dengan semua sekatan ini, pelajar tak jugak cemerlang. Tak juga ramai dapat first class.

Kali ini memang major pindaan. Banyak pindaan dibuat. Dan pindaan ini telah melalui sekurang-kurangnya 30 perjumpaan dengan pelbagai pihak dan mengambil masa 3 tahun untuk disempurnakan. Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Yusof Kassim.

Kita tunggulah pindaan AUKU ini apabila ia dikuatkuasakan.

Saya pula dapatlah mengagak jadual kerja saya tahun 2009. Sudah tentu banyak penyesuaian perlu dibuat.

Itupun kalau umur panjang dan masih di bahagian yang sama.

Monday, December 8, 2008

RUTINNYA ...








Tak banyak yang boleh dibuat oleh saya dan isteri ketika ini.

Banyak masa dihabiskan di sisi katil, berbual, membaca, sampai masa solat, baca al quran, baring, ke kantin beli makanan, makan, tengok orang kiri kanan etc.

Apapun, pagi raya ni sempatlah ke masjid bahagian kuching untuk solat sunat aidil adha. Dari hospital naik bas terus ke perhentian akhir, sampailah ke masjid tu.

Selesai solat, saya dapatlah beli satu batang lemang RM6, pisang sesisir, Berita Harian sebelum balik semula. Jadilah tu untuk sambut raya ni.

Alhamdulillah.

Monday, November 10, 2008

Selamat Hari Jadi Pendaftar

10 November 2008, Jabatan Pendaftar meraikan dengan penuh kesederhanaan tetapi meriah hari ulang tahun Encik Abdullah Hj Mohd Said, Pendafar UMS yang menyambut ulangtahunnya yang ke-53.

Majlis dimulakan dengan ucapan Encik AB, disusuli dengan upacara memotong kek hari jadi beliau dan disambut dengan ucapan doa oleh saudara Abdul Jalili dan diakhiri dengan jamuan ringan yang telah diusahakan oleh saudara Gani, Mariana and the Gang.

Tahniah diucapkan kepada En AB, semoga panjang umur, dimurahkan rezeki, dianugerahkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Bagus juga buat majlis ni setiap bulan bagi meraikan hari ulang tahun masing-masing. Mungkin boleh sekali buat semua yang terlibat pada setiap hujung bulan.

Friday, October 31, 2008

Terima Kasih Daun Keladi.

30hb Oktober, saya terbang ke Kuala Lumpur pada awal pagi untuk urusan kerja di Putrajaya. Sampai di KLIA pada jam 8.30 pagi, saya bergegas ke kaunter Teksi untuk membeli membeli tiket teksi menuju Precint 1 Putrajaya mengejar mesyuarat yang bermula pada jam 9.00 pagi.

Entah apa yang berada di dalam fikiran saya, mungkin terganggu dengan panggilan handphone saya, maka saya berurusan di kaunter sambil menjawab telefon di telinga dan terus menuju keluar mendapatkan teksi. Masuk ke dalam teksi, rasa lega kerana berfikir masih sempat untuk sampai sebelum pukul 9.00 pagi.

Kira-kira 10 minit di dalam teksi, saya tersedar dompet saya dah tiada. Puas meraba mencari tapi tak ada juga. Sah tertinggal atau tercicir semasa saya di kaunter tiket di KLIA.

Dengan penuh malu dan segan saya maklumkan kepada pemandu teksi mengenai dompet saya yang tercicir. Baru saya perasan bahawa pemandu teksi berkenaan ialah seorang wanita sekitar 40-an. Namanya Hani. Perawakan seperti lelaki dengan rambut yang agak pendek. Orang Ipoh.

Beliau setelah puas hati dan yakin memang saya keciciran dompet memaklumkan bahawa beliau akan patah balik ke airport tanpa apa-apa rungutan. Beliau sebenarnya memang pantang dengar pelanggannya tercicir dompet. Bergegar kepala lututnya.

Memang jauh berpusing. Sampai sahaja di airport, saya terus bergegas ke kaunter tiket tu. Alhamdulillah, dompet saya telah disimpan dengan baiknya oleh pekerja kaunter berkenaan.

Saya menaiki semula teksi kak hani dan mengucapkan terima kasih kepada beliau dan kami bergerak ke Putrajaya.

Saya inginlah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua individu yang terlibat yang telah banyak membantu saya ini. Semoga Allah akan mencucuri rahmat dan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka atas kejujuran dan sifat ambil berat yang telah mereka tunjukkan.

Saturday, October 18, 2008

5S dan 7S

17 Oktober, saya ke Kuala Lumpur untuk satu tugas rasmi di Putrajaya. Berada di bilik mesyuarat ini, sambil sibuk mendengar pengerusi menyampaikan taklimatnya, saya memerhatikan bingkai-bingkai yang digantung di atas dinding bilik berkenaan dan tertarik dengan tulisan-tulisan yang ada pada bingkai berkenaan.


Setelah selesai berbincang, saya berpeluang mengambil gambar bingkai-bingkai berkenaan. Tulisan yang dinyatakan pada bingkai berkenaan ialah amalkan 7S: Senyum, Salam, Segera, Sopan, Sensitif, Sentuh, Segak. Ia adalah satu lagi budaya kerja yang ingin diterapkan oleh Lembaga Jururawat Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Terkenang saya di Universiti Malaysia Sabah, kita baru nak bermula dengan amalan 5S yang sebenarnya dah bertahun diamalkan, rupa-rupanya dah ada yang tambah lagi dengan amalan 7s.







Tuesday, October 14, 2008

OPEN HOUSE NAIB CANSELOR

13 Oktober, Y.Bhg Datuk Naib Canselor telah mengadakan rumah terbuka aidi fitri di rumah rasmi Naib Canselor beralamat No. 11, Permai Village, Batu 3.5, Jalan Tuaran. Rumah terbuka bermula pada sebelah pagi bermula jam 10 pagi sehingga jam 2 petang untuk kakitangan manakala selepas itu pula dibuka untuk mahasiswa UMS.

Saya telah pergi meraikan program rumah terbuka ini pada pukul 1.15 tgh. Hujan renyai-renyai kadangkala lebat menyambut ketibaan saya. Heh... macam buat laporan kaji cuaca pula...

Mungkin saya antara kakitangan yang lewat menziarahi rumah terbuka ini apabila saya dapati tidak ramai lagi kakitangan yang ada. Mujur ada kakitangan pejabat pendaftar yang masih berada di sana, sedang menikmati juadah yang disediakan.. dan yang lebih penting sekali, sedang dilayan bersembang oleh Datuk K. (Yang masih ada tu, Kapt Haznain, Fauziah, Mariana, Rahmah, Marshilla, Winnie, Hadijah, Zainoriah, Arbe, dan beberapa lagi dari Perpustakaan... Anna Michael and the Gang.). Saya tak tahulah apa tajuk-tajuk yang disembangkan mereka bersama Datuk K.. kerana sejurus itu, beliau telah beredar melayan tetamu yang lain.

Kami mengambil kesempatan dengan jumlah tetamu yang sudah berkurangan ini, masuk ke dalam rumah Datuk.. dan tanpa segan silu, melihat dan menjamah biskut-biskut raya yang ada di atas meja di ruang makan. Datin Ann telah datang dan menegur kami dan kelihatannya agak penat,... mungkin kerana melayan tetamu yang datang daripada pagi lagi. Sempat lah kami mengambil gambar di dalam rumah Datuk.. dan Datin Ann pun sporting juga bergambar dengan kumpulan kami ni.
Kepada Datuk K, Datin Ann dan Famili, selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

Jam 2 petang.. kami dah beredar balik ke pejabat.. KERJA lah.. apa lagi.












Friday, September 26, 2008

Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pendaftar

Alhamdulillah, Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pendaftar telahpun sempurna diadakan di Teratak Kesumba pada 26 September 2008. Majlis yang dihadiri oleh Pendaftar UMS, Encik Abdullah Hj Mohd Said, telah berjaan dengan lancar.


Walaupun jumlah kehadiran seramai kira-kira 40 orang, ia tidaklah menjejaskan semangat pihak urusetia mahupun Pendaftar sendiri yang gembira dengan kejayaan menganjurkan majlis seperti ini.


Dalam ucapannya, beliau telah menyampaikan rasa terharunya kerana majlis seumpama ini dapat dianjurkan. Beliau berharap agar majlis ini akan menjadi acara tahunan Jabatan Pendaftar. Beliau yakin, Jabatan ini dapat terus menyumbang ke arah kecemerlangan UMS melalui pelbagai penambahbaikan yang telah dan sedang dijalankan.


Tuan Pendaftar juga mengucapkan sekalung tahniah kepada saudara No'man Ahmad yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan N52 dan menyuarakan keyakinannya di atas kemampuan beliau untuk memimpin Bahagian Sumber Manusia. Pada kesempatan ini juga beliau mengucapkan selamat berhari raya aidil fitri dan memohon maaf zahir batin terhadap segala kesalahan yang dilakukan.


Majlis berbuka puasa ini telahpun diserikan lagi dengan tazkirah ramadan oleh saudara Musnin Mattersah. Majlis ini yang juga dianggap perhimpunan bulanan Jabatan ini bagi bulan september telah menyaksikan anugerah kakitangan terbaik bulan Ogos Jabatan ini dimaklumkan dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Tuan Pendaftar sendiri.


Kakitangan berkenaan ialah-


i. Puan Rosnani Saibin, Bahagian Sumber Manusia

ii. Encik Ahmad Saprawan Roslee, Bahagian Perkhidmatan Akademik

iii. Encik Abdul Usin Utun, Bahagian Keselamatan
iv. Nor Ridahya Jimin, Bahagian Perkhidmatan Akademik (Anugerah Julai)


Bolehlah disimpulkan bahawa majlis ini telah dianjurkan dengan baiknya dan sekalung tahniah diucapkan kepada pihak urusetia yang telah memastikan majlis ini dapat dijalankan dengan lancar.


Berikut ialah sedikit gambar yang sempat diambil untuk tatapan dan kenangan. (yang ini kena tunggu dulu sebab gambarnya belum diproses lagi.. he he).