Thursday, January 29, 2009

Online Petition

Saya forwardkan isu ini untuk pertimbangan dan tindakan saudara/i yang membaca blog ini. Saya telahpun menyokong dan menandatangani petisyen secara online ini.



Terima kasih.



____________________






Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia telah melancarkan "online petition" bagi mendesak Kerajaan Malaysia, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil langkah-langkah mengasingkan barangan jualan haram dan halal di pasaraya dan kedai runcit di negara ini.


Petisyen tersebut berbunyi:

* * * * *
Menginsafi bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang agama dan bangsa;
Menerima keperluan menghormati pegangan agama dan kepercayaan satu sama lain sebagai asas keharmonian; dan


Menyedari bahawa terdapat pasaraya dan kedai runcit yang mencampuradukkan pameran dan jualan barangan haram di sisi Islam, khususnya produk babi (contoh: kasut) dan arak, telah menimbulkan rasa was-was dan kurang senang pengguna Islam.


Maka kami, yang menandatangani petisyen ini menyokong Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia bagi mendesak Kerajaan Malaysia, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengambil langkah-langkah yang difikirkan wajar untuk:


(1) Menentukan barangan halal dan haram di pasaraya dan kedai runcit dipamerkan menggunakan rak, peti sejuk atau kotak secara berasingan.


(2) Memastikan label yang jelas dan terang bagi menandakan barangan haram yang dipamerkan di pasaraya dan kedai runcit.


(3) Mensyaratkan pengendalian jualan barangan haram, terutama sekali produk babi dan arak, dilakukan oleh kakitangan bukan Islam.


Terima kasih.


* * * * *


Oleh itu, saya menyeru saudara/i untuk menyokong petisyen ini. Sila tandatangan sokongan di http://www.petitiononline.com/macom/petition.html


Sekiranya kita dapat mengumpulkan sejumlah tandatangan yang cukup besar, Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia akan mencetak dan menghantar petisyen ini kepada Kerajaan Malaysia, semua Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini.


Kita berharap dengan adanya petisyen ini, pasaraya dan kedai runcit akan mengasingkan pameran dan jualan barangan halal dan haram, sekaligus menghilangkan rasa was-was di kalangan pengguna Islam.


Saya juga memohon semua bloggers untuk membuat hebahan mengenai petisyen ini di blog masing-masing.


Terima kasih atas sokongan anda.

Wednesday, January 28, 2009

Kalau dah harum ...

Saya memang boleh dikategorikan sebagai peminat dan pencinta buah durian. Kalau ada sepuluh biji pun, saya boleh habiskan. Durian ni memang terkenal dengan baunya. Hidung saya memanglah mengkalsifikasikan baunya sebagai harum. Taklah macam isteri saya yang akan pening kepala kalau tercium bau durian ni. Sorry ya sayang...

Bau durian ini sembunyilah macam mana, tetap akan tercium juga akhirnya.

Maka apabila saya membaca perlantikan Dr Juanda Jaya sebagai Mufti Negeri Perlis, saya rasa sungguh gembira. Saya fikir Dr Juanda Jaya memang layak untuk diberikan peluang berkhidmat di institusi kemuftian di negara ini.

Saya hanya sempat mengenali beliau selama 2 tahun semasa belajar di Kolej Islam Klang dahulu. Juga dengan bekas mufti Perlis dahulu Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang juga belajar di kolej yang sama. Sepanjang 2 tahun mengenali kedua-dua mereka ini di usia remaja, sememangnya telah terserlah kehebatan dan kemampuan mereka dalam bidang kefahaman Islam dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika itu dikenali sebagai pemain pita rakaman (tape recorder) kerana kemampuannya mengulang kembali patah demi patah ceramah-ceramah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kalau dengar ceramah beliau, pasti seperti mendengar Haji Hadi berceramah.

Dr Juanda Jaya pula ketika itu lebih spritual. Kewarakannya lebih dipengaruhi oleh Kumpulan Al-Arqam yang ketika itu cukup hebat. Pernah satu ketika ketika kami ditugaskan dalam satu persembahan kesenian Islam, beliau begitu 'nervous'. Beliau solat hajat dan berzikir sendirian memohon persembahan berkenaan dapat berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat dakwahnya. Kemampuan bahasa arabnya pula memang menakjubkan ketika itu apabila selamba berkomunikasi dengan seorang Pak Arab di Perkampungan Sungai Penchala, ketika kami masa itu terkial-kial menyusun ayat untuk bercakap.

Setelah lebih sedekad tidak bertemu dan putus komunikasi, berita perlantikan beliau ini memang amat menggembirakan. Memang kalau dah wangi dan harum tu, tetap akan tercium jua keharumannya.

Selamat berkhidmat kepada Dr Juanda Jaya. Semoga Allah akan sentiasa bersama-sama beliau ketika beliau bergelar mufti ini.

Tuesday, January 27, 2009

Selesailah sudah ...

Anak saya yang bungsu telah selamat di'aqiqah'kan. Tumbang seekor kerbau pada 24 Januari yang lalu. Terima kasihlah kepada adik ipar saya Ruzaimi yang telah bersungguh-sungguh menguruskan penyembelihan kerbau berkenaan.

Seekor kerbau ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ruzaimi ambil 2 bahagian untuk anak kembar perempuannya. Anak lelaki saya pula dua bahagian. Yang lagi tiga bahagian pula diambil oleh sahabat-sahabat isteri saya dan Ruzaimi.

Maka selesailah sudah tanggungjawab sebagai ibubapa sekurang-kurangnya untuk tuntutan aqiqah ini. Dah tak ada lagi dah nak fikir dan risau. Tinggal nak didik mereka sahaja lagilah.
Saya nak ucapkan berbanyak terima kasih juga kepada ahli keluarga sebelah isteri saya yang bekerja kuat menjayakan majlis kenduri aqiqah pada hari ahad yang lepas. Ibu Mertua saya, Kak Dia sebagai chief, Abang Ibrahim dan isteri, Kak Esah dan boshassan, Ruzaimi dan isteri, Rosli dan isteri, Miming, Kak Mia, Kak Marlina. Mereka ini memang bekerja kuat memastikan Majlis Kenduri berkenaan berjalan lancar.

Sekarang kepala saya dah kebas semacam. Mungkin kerana makan daging banyak sangat kut.
.

Jom Senam!

Badan sihat akal sihat hidup ceria. Itulah yang ingin dicapai apabila Jabatan Pendaftar menganjur program Jom Outdoor pada 24 Januari yang lalu.

Macam-macam aktiviti diatur pada program ini. Bermula dengan sembang-sembang senaman, memanas badan dengan Tai Chi, naik bukit, derma darah, refleksologi, pertandingan cipta slogan dan kira anak tangga.

Saya fikir program ini berjaya. Penyertaan menyeluruh dari staf pentadbiran, akademik, pelajar dan masyarakat luar. Datuk K dan Datin Ann ada, TNC A&A ada, Dekan SPTA ada, Dekan SPE ada, Ketua Perpustakaan ada, Pendaftar lagilah kena ada.

Moral ceritanya, ambil beratlah kesihatan, banyak bersenam. Apabila sihat hidup ceria. Banyak perkara dapat dibuat. Ustaz Sarip Adul ada kata 'senaman hanya alat untuk sihat dan seterusnya lebih kuat untuk melaksanakan tuntutan ilahi'.

Jadi apa lagi, jomlah bersenam!!!





Friday, January 23, 2009

Cuepecs oh Cuepecs

Saya memang berterima kasih dengan CUEPECS kerana perjuangan mereka menyebabkan penjawat awam di Malaysia sentiasa mendapat rezeki melalui bayaran bonus dan kenaikan gaji oleh Kerajaan.

Kini Cuepecs sedang mengusahakan kenaikan pangkat bagi lebih 400,000 kakitangan awam kumpulan sokongan dua.

Hanya dalam ketika krisis ekonomi ketika ini, saya fikir isu ini tidaklah perlu ditekankan oleh pihak Cuepecs kepada Kerajaan. Kakitangan kerajaan perlu bersyukur mereka masih mempunyai pekerjaan dan dijamin bayaran gaji setiap bulan.

Pandangan saya ialah Cuepecs perlu lebih membantu Kerajaan untuk sama-sama berkongsi idea kaedah peyelesaian krisis ekonomi sekarang ini. Bukan memberi tekanan untuk Kerajaan mengeluarkan lebih belanja.

Kini Kerajaan membenarkan kakitangan sokongannya untuk berniaga. Maka Cuepecs perlulah mengambil peranan untuk mendidik kakitangannya berniaga. Saya fikir tak salah. Lebih baik mengajar bagaimana menangkap ikan daripada asyik diberikan ikan.

Fikirkan ini. Tambahan gaji dari kenaikan pangkat ini hanyalah RM 50 -RM 100. Pasti berniaga akan membolehkan kakitangan mendapat lebih daripada jumlah ini. Jika bernasib baik, mereka ini maju dalam perusahaan mereka dan berani meletakkan jawatan. Sudah pasti kekosongan yang ditinggalkan oleh mereka ini dapat diisi oleh mereka yang memerlukan.

Thursday, January 22, 2009

Bacalah dengan nama Allah

Ini adalah sedikit makluman berhubung buku yang telah saya baca semasa di Tingkatan 4 lagi. Entah mengapa, buku ini sentiasa menjengah ingatan saya sejak 2 hari ini. Saya sendiri tidak pasti buku ini masih ada ataupun tidak. Puas mencari di rak buku di rumah yang memang tak banyak buku itu, buku tu memang tidak ada. Akhirnya, saya membuat carian di Google (diceritakan milik seorang Yahudi). Dapat.

Tajuk buku itu ialah 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' dan ditulis oleh Fathi Yakan. Tajuk buku ini merupakan soalan kepada pembaca. Dapatkah kita menjawabnya? atau yang lebih penting, adakah kita mengamal dan berpegang teguh dengannya?

Secara ringkas buku ini memberikan jawapannya yang seperti berikut-

Saya menganut Islam bererti-

1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.
2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.
3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.
4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.
5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.
6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.

Pada kesempatan ini saya majukan beberapa penerangan beliau mengenai perkara pertama iaitu 'Saya mestilah muslim di sudut akidah'. Perkara berikut adalah untuk renungan dan ingatan. Bacalah-

  1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun.
  2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.
  4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya.
  5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka.
  6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.
  7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan.
  8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya.
  9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya.
  10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhanan (UluhiyyahNya).
  11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t. Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.
  12. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.
  13. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir.
  14. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya.
  15. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan yang lain.
  16. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya.
  17. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya.
  18. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman.

Monday, January 19, 2009

45,000

Saya tidak tahu bagaimana keadaannya sekiranya apa yang diramalkan menjadi kenyataan. Menjelang Tahun Baru Cina, 45,000 pekerja terutama dari sektor pengilangan akan hilang pekerjaan. Sehingga 12 Januari 2009, kira-kir 12,000 telah diberhentikan akibat kegawatan ekonomi yang melanda kini. Itu yang dilaporkan oleh Menteri Sumber Manusia.

Bagi saya yang makan gaji dengan Kerajaan ini, memang tak dapat mengerti perasaan mereka yang telah dan akan diberhentikan. Sumber kewangan yang dinikmati sebelum ini tiba-tiba terputus. Mereka ini pula terpaksa mencari kerja lain, jika ada. Yang bernasib baik mungkin dapat. Yang tidak bernasib baik, sudah pasti akan merasa tertekan.

Rezeki memang ditangan tuhan. Hanya manusia yang perlu memikirkan dan menentukan cara mendapatkan rezeki ini dan memutuskan sama ada rezeki yang dapat itu halal atau haram. Kesannya akan ada dua iaitu, yang pertama tekanan ini akan menyebabkan manusia mencari cara mudah dengan melakukan pelbagai jenayah. Kedua, tekanan ini akan menyebabkan manusia lebih kreatif dan lebih berani mencuba mendapatkan rezeki yang baik dan halal.

Masyhur di kalangan kita menerima sabda Rasulullah 9/10 rezeki itu adalah datang dari perniagaan. Mungkin ini yang sepatutya dilakukan oleh mereka yang hilang pekerjaan ini.

Saya ada mendengar soalan cepu mas pelajar sekolah sekarang ini, "Buat apa nak belajar di sekolah, habis belajar nanti tak juga dapat kerja. Ada orang yang tak pun tinggi pelajarannya tapi kaya raya juga". Tanyalah guru-guru sekolah mengenai soalan ini. Mereka pasti mendengarnya.

Maka isu pokoknya adalah soal pendidikan. Pendidikan yang kaku tidak akan menyediakan pelajar dan masyarakat terhadap cabaran sebenar selepas habis belajar. Ya lah, apa kena mengena belajar Geografi untuk mendapatkan kerja dan rezeki yang baik selepas tamat pembelajaran.

Sama jugalah di Universiti, setelah 3-4 tahun belajar, graduan-graduan ini ramai yang perlu dilatih semula untuk menyediakan mereka pada alam pekerjaan. Maka apabila ada lagi 45,000 orang lagi yang 'jobless' atau bakal menganggur, apa lagi yang boleh dilakukan?

Jadi benarlah mungkin soalan cepu mas itu: Belajar tinggi-tinggi pun bukan jaminan dapat kerja yang baik dan kaya. Nak jawab balik macam mana ya? Guru-guru ada nak jawab ka? 20 markah.

Ketua Pemuda?

Saya inginlah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Aziz Jamman yang telah memenangi jawatan Ketua Pemuda Bahagian UMNO di Semporna. Nampaknya, saudara Aziz kenalah meletakkan jawatannya di UMS apabila aktf dalam aktiviti politik. Perkara ini juga telah beres kerana saya difahamkan beliau telahpun memberikan notis peletakan jawatan beliau.

Semoga maju jaya dalam karier baru beliau ini. Sudah tentu lain cara kerjanya dibandingkan dengan jawatan kerajaan. Apapun, buatlah yang terbaik untuk maslahat masyarakat di Semporna sana. Sudah pasti integriti sebagai pemimpin perlulah dipertahankan. Nasihat saya depankanlah maslahat masyarakat daripada maslahat diri sendiri. Baru namanya pemimpin pejuang bangsa, agama dan negara.

Tak mahulah jadi pemimpin yang tidak ada idealisma, menjadi pak turut dan menunggu laba besar jatuh ke riba.

Apapun Aziz, kena kerja lagi kuatlah ya.. macam susah ja BN sekarang ni mau cari makan..

Saturday, January 17, 2009

AWAS: JARUM HALUS WEBSITE BERTOPENGKAN ALQURAN

http://www.thequran.com/Default.aspx?t=2

Website ini memaparkan apa yang dinamakan kesilapan-kesilapan dalam alquran. Memang musuh Islam ini tidak pernah tidur dan berehat daripada mencuba memesongkan akidah umat Islam ini.

Sila rujuk artikel blogger mahaguru58 untuk keterangan lanjut.

Murnikanlah akidah kita, tingkatkanlah lagi ilmu agama mudah-mudahan Allah s.w.t memelihara kita dengan iman dan hidayahnya.

Kenapalah duit tu ke sana?

Apabila Sheikh Mansoor bin Zayed AlNahyan mengambil alih sebuah kelab bola sepak Inggeris, memang nampak gah dan membanggakan. Melalui Abu Dhabi United Group milik sheikh ini, kelab milik Thaksin Shinawatra dibelinya dengan harga 150 juta Pound (RM700 juta). Memang kaya orang ni. Dengan aset sebanyak 33 billion Pound, jumlah 150 juta Pound sebagai harga tukar milik kelab ini memang sikit sahaja baginya. Aset keluarga beliau sahaja sudah mencecah 300 billion Pound.

Hanya kini saya tersedar dan kesal, duit sebanyak itu diberikan untuk tujuan yang tidak mendatangkan faedah untuk umat Islam di dunia ini apa lagi untuk digunakan sebagai bekal di akhirat nanti. Mudah sahaja duit sebanyak itu diberi dan disedekahkan untuk tujuan yang tidak memberikan sekelumit faedah pun untuk umat Islam. Kini sheikh dengan lapang dada menawarkan lagi 100 juta pound untuk mendapatkan hanya seorang pemain. Tawaran tertinggi pernah dibuat di dunia ini.

Bayangkan apa yang boleh dinikmati oleh rakyat tertindas di Gaza atau Sudan dengan wang sebanyak itu. Saya tidak tahu apakah yang dikejar oleh Sheikh ini lagi. Tak cukup dengan apa yang ada. Gunalah kekayaan itu membantu umat Islam, golongan miskin dan tertindas. Bukannya dengan joli katak seperti itu.

Saya sedar, orang kaya seperti sheikh ini memang banyak bersedekah dan ada juga kerja amalnya. Tapi membazir wang sebegini sememangnya boleh dikelaskan sebagai 'saudara syaitan'. Apa lagi dalam keadaan umat Islam sekarang.

Begitulah apabila nikmat kekayaan ini digunakan untuk kerakusan sendiri. Sudah pasti pangkat, kedudukan, kemuliaan, kekuasaan akan digenggam. Tapi hanya untuk dunia yang fana ini.

Aduh sayang! kenapalah duit tu ke sana?

Thursday, January 15, 2009

WARNA WARNI KEHIDUPAN

4 hari ini ada beberapa peristiwa yang berlaku.

Pertama ialah saya demam lagi. Kali terakhir demam ialah pada november tahun lepas. Masa tu di Hospital Umum Kuching menemani isteri. Kali ini demam datang saya di Kuching juga. Balik terus ambik MC. Badan ni tak kuat sangat dah walaupun masih muda remaja lagi.

Keduanya, rumah sunyi saja. Sebabnya masalah receiver astro. Mungkin kena kilat. Jadi masa yang ada pada sebelah malamnya dipenuhkan dengan sesi bermesra dengan anak-anak. Baru hari ini masalah astro dapat diselesaikan. Selesai RM120.

Ketiganya, rumah saya ni baru 4 tahun tinggal dah banyak rosak. Lampu terbakar, saluran tersumbat, paip bocor, kepala paip 'loose'. Terbaru kepala paip depan rumah dah 'loose'. Air mencurah keluar. Tindakan sementara dah dibuat oleh insinior isteri. Tinggilah bil air bulan ni. Sampai sekarang tak selesai lagi. Tak cukup tu, mentol lampu rumah luar pun dah terbakar. Ini masuk kali yang entah berapa kali. Ini semua panggil 'Pak Usin' nak selesaikan masalah.

Mana nak cari Pak Usin?. Gemilang Mirza pun dah kena ketuk oleh Bank Negara.

Keempatnya, kesihatan bonda pun dah banyak terganggu. Keputusan ujian darah pun tak begitu baik. Terima kasih lah Jai dapat bawa bonda ke klinik kesihatan tadi. Insya Allah, susah senang, sakit bonda akan sentiasa diiringi doa kesejahteraan putera-putera puterinya.

Sunday, January 11, 2009

Jangan Tengok Rancangan Ini

Dah lama saya tidak mengikuti sepenuhnya rancangan Melodi TV3.

Jam 7 malam tadi, saya menonton rancangan Melodi Terhangat. Rancangan ini memberikan ranking cerita-cerita hangat sepanjang tahun 2008.

Macam itulah apabila rating dan keuntungan menjadi sandaran. Saya tak tahu apa perasaan mereka yang menjadi bahan berita ini.

Yang pasti tak ada cerita yang baik yang diketengahkan, tetapi kisah sensasi, masalah rumah tangga, fitnah, skandal dan macam-macam.

Semua ini diungkit semula. Dah nak lupa dah. Tapi diingatkan semula. Paling hebat, semua yang terlibat orang melayu. Baik artis, baik wartawan, baik kru dan baik pengacara.

Ini semua dosa kering yang memang paling disukai oleh rakyat Malaysia. Melayu terutamanya. Melayu yang Islam.

Saturday, January 10, 2009

UMATKU... UMATKU

Satu artikel analisis yang saya fikir baik untuk dibaca. Saya ambil dari Utusan Malaysia hari ni. Jika difikirkan betul-betul, mungkin inilah punca sebenarnya masalah umat Islam di Palestin. Mungkin, jika ingin tragedi di Palestin ini diselesaikan, Israel/Yahudi bukan isu nombor 1, tetapi kesatuan fikiran dan perpaduan tulen umat Islam khususnya di negara-negara Asia Barat sana. Jangan gah dan taksub dengan kelab bola, kelab kuda, bina bangunan paling tinggi, ikut punggung negara barat, pangkat, harta dan kedudukan.

Selagi tidak ada perpaduan, dan kesatuan di kalangan umat Islam, di kalangan negara Islam, di kalangan pemimpin negara Islam, maka jadilah kita seperti 'Anjing menyalak bukit' kerana kitalah sebenarnya punca pertamanya, sedangkan Yahudi/rejim Zionis ini hanyalah sebab sahaja yang telah Allah aturkan untuk mengingatkan kita.. atau kita sahaja yang tidak sedar.

***
Palestin mangsa Asia Barat
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)

KEGANASAN berterusan Israel di sebalik suara kutukan demi kutukan kebanyakan masyarakat dunia membayangkan betapa kaum Yahudi itu tidak pernah mengambil peduli desakan antarabangsa. Resolusi demi resolusi yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa sejak 60 tahun krisis Asia Barat itu juga tidak ubah seperti hamparan kaki buat Israel serta penajanya Amerika Syarikat (AS).

Lalu pembunuhan secara terang-terangan Israel ke atas penduduk Palestin bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Palestin akan terus bermandi darah dan Israel akan terus mempunyai alasan untuk mewajarkannya meskipun buat 1,000 tahun lagi.

Namun apa yang cukup dikesalkan ialah pendirian negara-negara Islam terutamanya di rantau Arab yang seolah dirantai meskipun gegaran bom dan tangisan serta rintihan dari bumi Palestin dapat didengari oleh telinga mereka sendiri.

Mengapa negara-negara yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir dan Jordan terutamanya, serta negara-negara Islam lain di benua Arab begitu tega melihat nasib rakyat Palestin yang sebangsa dan seagama dengan mereka diratah oleh tangan-tangan jahat rejim Zionis?

Ramai yang melihat sikap berdiam diri negara-negara Arab itu kerana mahu melindungi kepentingan dan survival ekonomi serta kuasa masing-masing. Apatah lagi negara-negara bersempadan dengan Palestin seperti Mesir, Jordan dan Turki mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan Israel serta sudah semestinya Amerika Syarikat.

Namun sesuatu yang lebih nyata, seperti yang disorot oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, sikap yang mendasari tindakan negara-negara Arab itu merupakan satu percaturan politik di Asia Barat.

Negara-negara Arab melihat apa yang berlaku di Palestin daripada kaca mata keseimbangan kuasa mereka tidak hanya di Palestin sendiri, sebaliknya lebih jauh lagi di seluruh Asia Barat.

Hakikatnya negara-negara Arab enggan berdiri di belakang perjuangan Hamas kerana bimbang kebangkitan dasar perjuangan Hamas bakal menjatuhkan rejim-rejim Arab yang korup.

Jika sejarah penubuhan Hamas diperhalusi, bibit-bibit penubuhannya tercetus menerusi pergerakan Ikhwan Muslimin yang bermula di Mesir selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah pada 1922. Pergerakan Ikhwan Muslimin itu menjadi ancaman yang menggugat kedudukan pemimpin politik sekular Mesir. Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sejak 60 tahun lalu, pemimpin gerakan itu berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti pembunuhan dan penyeksaan di Mesir.

Sentimen pergerakan Ikhwan Muslimin mula bertiup di kalangan rakyat Palestin apabila Israel menduduki negara itu secara tidak sah pada 1948. Daripada pergerakan yang sederhana, pendokong Ikhwan Muslimin di Palestin berkembang dengan pantas termasuk sehingga mampu membina kemudahan awam seperti sekolah, hospital termasuk universiti di Palestin.

Bagaimanapun kebangkitan sebenar Ikhwan Muslimin di Palestin dapat disaksikan ketika tercetusnya intifada yang pertama pada 1987, apabila pergerakan ini muncul sebagai sebuah gerakan massa dengan nama Hamas.
Memandangkan ketika itu sikap dan tindak tanduk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Fatah dilihat lebih tunduk kepada Israel dan AS, maka kebanyakan rakyat Palestin menggantung harapan kepada Hamas untuk meneruskan perjuangan nasional Palestin dan mempertahankan hak umat Islam di Baitulmaqdis.
Kebangkitan Hamas itu tambah Hafidzi, tidak hanya merupakan ancaman kepada Israel, sebaliknya juga menjadi ketakutan kepada rejim dan kuasa Arab.

Apatah lagi negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi, Syria dan negara Teluk lain mempunyai sejarah yang panjang dengan pergerakan Ikhwan Muslimin yang menjadi teras kepada Hamas.

Sokongan padu terhadap Hamas pastinya menggugat keseimbangan kuasa politik di Asia Barat sehingga berkemampuan meniup kebangkitan di kalangan penduduknya untuk menentang rejim-rejim Arab yang korup.

''Kerana itu tidak ada satu pun negara Arab yang mengadakan sistem pilihan raya demokrasi kerana mereka amat yakin sekiranya sistem demokrasi itu itu dilaksanakan, maka rejim-rejim Arab yang korup ini sudah lama ditolak oleh rakyat dan digantikan dengan pemimpin yang lebih berjiwa rakyat dan berjiwa Islam," jelas Hafidzi.

Ironinya ketika negara-negara Arab masih mengekalkan sistem monarki mutlak dalam meneruskan kekuasaan iaitu menerusi pewarisan kuasa, Israel merupakan satu-satunya negara di Asia Barat yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Justeru, apabila Palestin mengadakan pilihan raya legislatif pada Januari 2006 yang menyaksikan Hamas dipilih sebagai parti pemerintah yang sah, kemenangan itu dinafikan tidak hanya oleh Israel tetapi juga oleh kalangan negara Arab sendiri. Keadaan ini memperlihatkan ketakutan rejim Arab terhadap kebangkitan semangat demokrasi di kalangan rakyat Palestin yang boleh tersebar di kalangan penduduk di benua Arab yang lain.

Atas alasan itu juga jelas Hafidzi, negara-negara Arab mengambil sikap berdiam diri ke atas sekatan dan serangan terhadap Palestin kerana mahu melihat Hamas ditumbangkan dan berkubur dari landskap politik di Asia Barat keseluruhannya.

Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila serangan terbaru ke atas Palestin ketika ini juga disambut dengan kritikan ke atas Hamas oleh pemimpin negara Arab kebanyakan. Malah Fatah sendiri menerusi Presiden Mahmoud Abbas meletakkan kesengsaraan rakyat Gaza sebagai tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Hamas.

Tindakan Fatah itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka sebelum ini sudah dilihat berdiri di belakang Israel bagi menghapuskan kumpulan Hamas di bumi Palestin. Malah, Fatah juga sanggup melihat nasib rakyat sebangsa dan seagama terus ditindas kerana mahu rakyat Gaza menyalahkan Hamas di atas serangan Israel ketika ini.

Malangnya baik Israel, AS, Fatah mahupun negara-negara Arab, tersilap dalam menduga sokongan rakyat Palestin.

Sokongan rakyat Palestin terhadap Hamas semakin meningkat dan dipercayai akan terus subur biarpun selepas episod peperangan kali ini. ''Hakikatnya meskipun berpuluh-puluh bedilan peluru dan mortar tentera Israel menghujani Gaza dan membunuh ratusan nyawa rakyat Palestin, tidak ada tanda-tanda untuk rakyat Palestin berpaling tadah dan mengkhianati perjuangan bersama Hamas," ujar Hafidzi.

Namun jika aksi keganasan tentera Zionis ketika ini dipandang dari sudut realiti, sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah Hamas berhadapan dengan penentangan yang sangat sulit dan getir.

Apatah lagi tindak-tanduk Israel yang semakin menggila termasuk menggunakan kekuatan udara, laut dan darat membayangkan bahawa mereka sebenarnya bermaksud untuk menghapuskan Palestin secara total dalam peta dunia.

Keadaan ini membawa kepada satu pertanyaan yang sangat besar iaitu mampukah Hamas dalam serba kekangan menentang kemaraan tentera Yahudi?

Bagi Hafidzi, kekuatan Hamas dan pejuang Islam di Palestin yang terbina sejak berpuluh-puluh tahun lalu merupakan satu rahsia yang tidak mungkin dicongak oleh Israel. Dalam keadaan dibedil bertalu-talu sama ada dari udara dan darat, serta di sebalik keangkuhan Israel yang mendakwa mereka berjaya melumpuhkan sebahagian besar kemampuan Hamas, sekurang-kurangnya 45 bedilan roket dilancarkan ke wilayah Israel kelmarin.

Malah, buat pertama kalinya juga, roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin mensasar sehingga 60 kilometer ke dalam wilayah Israel, iaitu satu jarak yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Keadaan ini membayangkan betapa Hamas mempunyai kekuatan persenjataan yang tidak boleh dijangkakan.
Sesuatu yang pasti ujar Hafidzi, Hamas bukanlah sebuah entiti tentera sebaliknya merupakan organisasi yang mendapat sokongan seluruh masyarakat Palestin. Justeru, kekuatan Hamas tidak wajar diukur dengan kekuatan fizikal mahupun ketenteraan dan persenjataan.

Atas pendirian yang sama juga Israel sewajarnya menghentikan serangan ke atas Palestin terutamanya di Gaza kerana tindakan itu tidak mungkin akan melemahkan sebuah organisasi massa seperti Hamas meskipun berpuluh-puluh pemimpinnya terkorban.

''Jika Israel masih berdegil dan berterusan menyerang Palestin, negara Yahudi itulah yang akan menerima bencana ketenteraan, politik dan diplomasi antarabangsa yang semakin kuat dan lantang menolak kekejaman mereka," tambah Hafidzi.

Ketika tiada tanda-tanda untuk kekejaman Zionis berakhir dalam masa terdekat, dan berpuluh-puluh lagi nyawa rakyat Palestin terus menjadi korban hari demi hari, sewajarnya rakyat Malaysia bangkit menunjukkan penentangan terhadap kejahatan Israel itu.

Aksi demonstrasi dan bantahan dalam skala mega perlu digerakkan di seluruh negara dalam menyuarakan penentangan terhadap kezaliman Israel.

Malah, suara kutukan juga perlu ditujukan kepada negara-negara Arab yang mengambil tindakan bacul dan pengecut serta terhadap AS yang menaja kejahatan Israel. Seluruh rakyat Malaysia juga perlu berganding bahu dan bangkit menentang tindakan ganas, biadap dan kebinatangan Israel dan tidak melihat konflik itu sebagai Islam menentang Yahudi, sebaliknya pelanggaran hak asasi yang paling menjolok mata.

Malah PACE seperti yang dijelaskan oleh Hafidzi juga, berharap supaya lebih banyak dialog, seminar, ceramah dan majlis ilmu mengenai konflik sebenar di Palestin diadakan di seluruh negara bagi mematahkan propaganda dan pembohongan oleh media Barat.

Rejim Zionis ketika ini berselindung di sebalik media dengan memanipulasi hakikat dan menggambarkan mereka sebagai mangsa sedangkan merekalah penjenayah sebenar yang perlu dihapuskan.

PACE dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia juga tambah Hafidzi, menyeru rakyat Malaysia supaya terus memberi sokongan kepada pelbagai pihak yang sedang giat menjelaskan isu ini kepada masyarakat.

Thursday, January 8, 2009

Alahai sayangnya!!!

Penamaan calon Pilihanraya Kuala Terengganu sudah berlalu. Sekarang semua pihak sedang asyik berkempen habis-habisan.

Rakyat Malaysia mampu berhimpun beramai-ramai dengan automatik dalam beberapa perkara-

i. Penamaan Calon
ii. Tengok bola
iii. Tengok konsert
iv. Hari merdeka
v. Cuti tahun baru.

Memang ramai yang datang. Penamaan calon 6hb baru-baru ini pun sama. Punyalah ramai.
Mau lebih 20,000 orang. Separuh pakai topi hijau, separuh pakai topi biru. 2 kumpulan ini memang lawan sorak, siapa yang paling kuat walaupun tak ada hadiah yang diberikan waktu tu. Hanya kepuasan hati dan maruah sahaja yang disandarkan.

Semenjak 29 Disember 2008 Zionis membunuh rakyat Palestin di Gaza, protes rakyat Malaysia hanya melalui suara pemimpin dan media cetak sahaja. Tak adalah nak menggila macam perhimpunan reformasi dahulu, atau seperti masa penamaan calon di Kuala Terengganu. Semuanya sopan sahaja. Kalau ada demonstrasi pun hanya beberapa kerat sahaja. Adoi kesiannya, pemuda UMNO berarak hanya seratus lebih sahaja yang ikut serta.

Semua tak sempat kut, sibuk dengan pilihanraya Kuala Terengganu. Memang ikut pattern sahaja. Mungkin tak terfikir buat perubahan masa penamaan calon hari tu, semua bersatu pakat berarak demonstrasi kutuk kegilaan rejim zionis tu. 3 calon jalan sama-sama mengetuai penyokong ke pusat penamaan calon sambil laung kutukan dan takbir 'ALLAHU AKBAR' waktu tu. Solat hajat lepas tu. Baru ada kelainan. Baru ada kekuatan. Lagipun, 3 calon tu semua Islam. Satu akidah. Saudara. Nak gaduh apa?

Agaknya lepas 16 Januari kut baru nak susun apa nak buat dengan isu Palestin ni.

Alahai, sayangnya!!!!!!!!

Monday, January 5, 2009

Hari Pertama IsSchool

Syukur. Sekolah anak-anak hari pertama telah selamat dilalui. Tak ada perkara yang luar biasa berlaku. Tiga anak telah memulakan sesi persekolahan mereka. Tak ada tangisan seperti tahun lalu. Hanya suspen serba sedikit nampak di air muka mereka.

Selesai sekolah hari ini, saya bertanyalah kepada anak-anak saya, belajar apa hari ini? Yang Tadika tu menjawab warna-warna, main suara-suara dan main. Yang darjah satu jawab, tiada kena ajar, cuma kena ajar tulis nama sendiri satu mukasurat, Yang darjah dua pula jawab ada sudah cikgu yang mengajar.

Hampir 3 jam saya di sekolah hari ini, ada pegawai dari Jabatan Pelajaran yang memantau Pengajaran dan Pembelajaran hari pertama sekolah. Semua guru dah mulakan tugas masing-masing. Malah semua guru tak boleh bercuti dan ke mana-mana untuk tempoh 3 minggu ini. Baguslah dan tahniah kepada semua guru. Selamat mendidik.

Apapun, saya tanya Farihin yang di Tadika tu siapa nama kawan yang dia tahu.. Jawabnya selamba... "Awina" [dengan senyum yang lebar].

DOAKU BUAT RAKYAT PALESTIN

Alhamdulillah, walaupun lambat tindakan bersepadu dibuat pada peringkat negara, usaha menyatukan setiap masjid di negara ini untuk membicarakan isu penderitaan rakyat Gaza ini di mimbar jumaat akhirnya belaku juga. Siap dengan solat hajat.

Mudah-mudahan doa muslimin di Malaysia ini diterima Allah s.w.t.


“ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, Engkau musnahkanlah musuh-musuh umat Islam. Hancurkanlah kekuatan dan kesombongan umat Yahudi yang memusuhi agama dan hambaMu. Hanya kepadaMu lah kami menyembah dan hanya kepadaMu sahaja kami memohon pertolongan"

AMIN.

Sunday, January 4, 2009

Sekadar coretan

Ketika sedang di hadapan laptop kepunyaan pejabat ini, siaran astro Prima sedang menyiarkan filem Nujum Pa' Belalang. Satu dialog sempat saya lihat ialah dialog P Ramlee sedang melayan nasibnya sambil berkata "Hai la Badan, Hai La Nyawa".

Terus masuk dalam fikiran saya tentang apa yang telah dan sedang berlaku 4 hari selepas tahun baru ini. Sedekat-dekat dengan saya sehinggalah sejauh-jauh saya.

Sebagai anak, saya doakan bonda saya sihat secepatnya. Bonda telah mengadu sakit kepala, lenguh yang amat sangat di lengan kanan, sakit di bahagian bahu dan tengkk, dan rasa sakit di dada sebelah kanan. Sakit kepalanya ini adalah kali ketiga. Pertama berlaku pada bulan April, Kedua kali berlaku pada bulan Ogos dan kini berlaku pada sejak akhir Disember 2008 sehingga kini. Doktor ketika ini hanya memberi ubat tahan sakit, dan ubat lancar darah. Ujian darah pula hanya akan diketahui 2 minggu lagi.

Anak buah saya pula mengalami 'dislocate' di bahagian siku tangan kirinya. Sekarang berada di Hospital Likas untuk membetulkan semula siku tangannya. Tak sekolahlah Luqman esok.

3 anak saya esok (hari ni) akan mula sekolah. Farah masuk darjah 2. Farhan akan masuk darjah 1. Farihin pula akan masuk Tadika 1. Jumaat lepas dah daftarkan Farah dan Farhan. RM 250 telah disediakan untuk bayar segala yuran, tapi akhirnya hanya RM1.50 sahaja dibayar setiap seorang. Yuran-yuran lain ditangguhkan pada bulan Ogos nanti.

Taklah sensasi dan hebat sangat rasanya cerita ni berbandingkan dengan cerita 10 orang mati kemalangan di Kelantan, Banjir di Pantai Timur, Kes maksiat semasa sambutan tahun baru, dan dah lebih 400 orang yang dah gugur syahid di tangan Yahudi, dan tak lupa juga kisah pilihanraya di Kuala Terengganu.

Selamat kembali bertugas isteriku, Selamat bersekolah anak-anakku.

Janganlah sentiasa mengeluh macam dialog P Ramlee tu..
"Hai La Badan, Hai La Nyawa".

Friday, January 2, 2009

Thursday, January 1, 2009

Perkelahan keluarga

Alhamdulillah, saya fikir sambutan menyambut tahun baru oleh saya dan keluarga telah lengkap dan dengan secara rasminya diisytiharkan tamat.

Saya sekeluarga, ibu dan ayah saya, adik-adik saya sekeluarga telah dapat berkumpul pada cuti tahun baru masihi ini di tepi pantai Tanjung Aru. Jiran rumah yang kami panggil Babu balah di kampung pun hadir sama. Sederhana tapi meriah juga.

Pasti yang paling seronok ialah anak-anaklah.



SELAMAT TAHUN BARU MASIHI 2009

Tahun 2009 telah tiba. 2008 telah berlalu. Saya ucapkan selamat menyambut tahun baru masihi 2009.

Semoga pada tahun 2009 ini, kita dilimpahi kebaikan, kemudahan dan kenikmatan bagi mencapai segala azam dan resolusi yang telah kita tetapkan.

Selagi hayat dikandung badan, tahun 2009 ini saya ingin jadikan tahun terbaik kepada saya dan keluarga. Azam saya ialah ingin menjadi manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain. Sesuai dengan kemampuan dan apa yang saya ada. Yang paling penting, menjadi muslim yang mu'min dan beramal soleh dan menjadikan dunia ini ladang untuk dituai hasilnya di akhirat nanti.

Itulah azamnya. Macam mana nak buat? Pelan tindakannya akan dibincangkan bersama suami isteri. Tak dibincangkan pun lagi. Masih sibuk menyambut tahun baru 2009.