Tuesday, August 9, 2011

Al Quran

Alhamdulillah, masuk hari ke 10 Ramadhan, azam menjelang Ramadhan dahulu masih lagi terlaksana. Azamnya ialah untuk khatam al quran sekali dalam bulan ini dan menghafal beberapa surah dalam juzuk 30. Sekurang-kurangnya tak jadi hafiz alquran 30 juzuk, hafiz juzuk ke 30 pun syukurlah.

Programnya ialah membaca alquran sambil membaca terjemahannya. Perlahan-perlahan. Faham untuk sepintas lalu. Alhamdulillah, sehingga kini berjalan lancar dan semoga berterusan sehingga ke akhir Ramadhan nanti.

Ketika ini perasaannya seperti dibuai dan dibelai dengan penceritaan al quran ini. Perasaan gembira, sedih, takut, geram, marah, insaf, tertanya-tanya saling mengambil tempat bergilir-gilir di hati ini ketika melungsur satu persatu ayatnya. Subhanallah.

Maka berjumpalah ayat 124-125 dalam surah at taubah. Na'uzubillah min zalik.

"124:Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka ada yang berkata, "Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, dan mereka merasa gembira. 125: Dan adapun orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit, maka (dengan surah itu) akan menambah kekafiran mereka yang telah ada dan mereka akan mati dalam keadaan kafir."

Membaca al quran juga boleh menambahkan kekufuran hamba-Nya. Memang itu janji Allah. Beriman kepada-Nya, nescaya Allah tambahkan dan kukuhkan keimanan itu. Kufur kepada Nya, maka akan bertambah-tambah kekafirannya dan akan mati dalam keadaan kafir.

Membaca dan mengkaji al quran, jika diiringi hati yang ikhlas dan mahu mencari kebenaran, maka kukuhlah iman itu, membaca al quran dengan hati yang rosak dan niat yang jahat, maka kekal lah pembacanya seperti seadanya bahkan menjadi lebih dahsyat rosaknya.

Selamat membaca alquran. selamat memahami maksud dan kandungan al quran. Selamat beramal dengan anjuran dan perintah nya.


No comments: