Sunday, April 26, 2009

Orang baru

Tahniah saya ucapkan kepada Roslan,adik ipar saya dan isterinya yang telah melahirkan seorang anak lelaki di Hospital Likas awal pagi tadi.

Signifikan anak kecil ini lahir, ayahnya di Perak sedang mengambil kursus diplomanya. Lahir anak ini pula melalui pembedahan. Bukan bedah biasa. Oleh kerana baru disedari ada ketumbuhan dalam rahim ibu, maka pembedahan perut ibu dengan potongan menegak perlu dilakukan.

Begitulah perhitungannya. Mungkin juga ini sebabnya 'syurga itu di bawah tapak kaki ibu'.

Monday, April 20, 2009

KPI

KPI: Key Performance Indicator. Maka sepanjang 3 hari lepas, saya bersama-sama rakan sepejabat berkampung menyediakan KPI bagi UMS. Alhamdulillah, deraf pertama telah berjaya dihasilkan dan ia akan dijadikan panduan bagi semua kakitangannya.

Begitulah terperincinya. Apa yang ingin dicapai jelas dan ia boleh diukur.

Sekarang ini menteri kena buat KPI, semua jentera kerajaan diarah ada KPI, syarikat-syarikat ada KPI, orang politik pun ada KPI.

Mungkin sekarang dah sampai masa juga untuk masing-masing memikirkan KPI peribadi masing-masing. Apakah pula Teras Utama, Key Strategic Area , Objektif, Strategi dan Petunjuk Prestasi Utama dan impaknya bagi seseorang manusia? suami isteri? anak-anak? keluarga?

Sama-samalah merenungkannya.

Siapa yang dah siapkan secara bertulis, kongsilah dengan saya ya!

Thursday, April 16, 2009

Soal Jawab

Memang minggu ini agak menekan bagi ramai rakan pegawai saya di UMS. Minggu ini adalah minggu 2 audit iaitu audit sistem pengurusan UMS berdasarkan standard MS ISO yang dilakukan oleh pihak SIRIM. Dalam pada yang sama juga audit dalaman MQA juga dilaksanakan kepada banyak sekolah dan jabatan. Memang berasap!

Minggu ini juga berlangsung Ujian Tahap Kcekapan 1 bagi gred 41. Saya diamanahkan untuk menjadi ketua pengawas bagi ujian ini. Kesian melihat rakan-rakan pegawai yang bergelut menjawab soalan-soalan yang diberi dalam tempoh 3 jam itu.

Maka apabila selesai sesi ujian berkenaan, saya pun sajalah berseloroh kepada mereka dengan mengatakan bahawa hidup kita ini memang penuh dengan ujian sejak darjah satu sehinggalah kini. Mungkin tak perlulah risau kerana tahun ini adalah tahun terakhir ujian PTK dibuat secara bertulis. Lepas ni tak ada dah lagi.

Maka sekonyong-konyong terkeluar satu respon daripada salah-seorang daripada mereka iaitu:
" Memang yang terakhir di dunia. Tapi ada satu lagi ujian paling besar yang kena dihadapi lagi-ujian di Padang Mahsyar!!"

Hemm.. betul tu puan. Pasti.

Tuesday, April 14, 2009

Antara tanggungjawab dan takut

Berita SMS ke handphone saya berbunyi-

Sidang DUN Terengganu bermula jam 9.30 pagi adi menyaksikan lebih 10 kerusi Adun BN kosong, dipercayai ada kaitan dengan SMS ugutan bunuh.

Adun Terengganu akan boikot sidang DUN selagi tiada jaminan keselamatan berikutan SMS ugutan bunuh yang diterima mereka malam tadi.

MB Terengganu akan dipanggil berjumpa PM dan TPM bagi jelaskan isu sebenar 10 Adun yang boikot sidang DUN hari ini: Muhyidin

SUSK Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda buat laporan polis nafi sebar SMS ugutan bunuh kepada tiga Adun BN

Najib arah ADUN BN yang boikot sidang DUN Terengganu supaya menghadiri persidangan kerana SMS ugutan yang mereka terima tidak sah

******

Apa dah jadi YB. Takut sangat dengan ugutan SMS tu. Mungkin ini dah melambangkan kehebatan manusia yang dipilih mewakili masyarakatnya yang digelar Yang Berhormat.

Malu juga lah saya. Perjuangan apa namanya baru terima ugutan SMS dah menceceh semua tinggal di bilik hotel dan tak hadir dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Patutnya lagi besar tribulasinya lebih kuat seorang pejuang itu. Paling teruk dari itu, semuanya manusia yang beragama Islam. Isy..Isy.. malunya... Tak ada semangat jihad dan perasaan nak mati syahid langsung mereka ni. Malaysia ni mungkin banyak sangat pengganas kut sehingga kes macam ni pun dah tunggang langgang menyelamatkan diri.

Saya sebenarnya paling anti melihat YB Karpal Singh. Tapi dalam kes ini saya kena tabik spring dengan Tok Karpal. Saya yakin hebat lagi cobaan yang dihadapinya. Tak ada apapun yang berlaku. Bukan setakat SMS, siap kena bagi peluru hidup lagi. Hidup lagi Yang Berhormat ni. Siap lagi dengan aksi hebat beliau di Parlimen. Singh is King.

Bagi 10 orang YB ni pula, mungkin kena nyanyi lagu 10 budak hitam.

10 budak hitam
Jalan tepi kolam
Satu jatuh kolam
tinggallah sembilan. (ulang 10 kali dengan pengiraan turun kira)

Jadi, mungkin benar juga kebimbangan Muhyidin yang bimbang isu ini akan menjejaskan pemerintahan BN di Terengganu.

Baik-baiklah ya.. 3 tahun lagi ni.

Ani.....

Dimaklumkan bahawa bermula 4 April 2009 sehingga ke tarikh yang akan ditentukan kelak, saudari Ani Mattaang tidak akan bersama-sama keluarga saya kerana balik ke tanahair tercintanya Tanah Sulawesi untuk meraikan perkahwinan adiknya.. atau mungkin perkahwinannya sendiri..

Wawawaawawa..........

Kerja rumah kenalah buat sendiri. weck..

Monday, April 13, 2009

Beginilah nasib dirinya yang malang..

Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan. Azilah dan Sirul bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Rayuan telah dibuat. Rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tak jalan juga, rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Tak jalan juga, see you in Padang Mahsyar.

Bagi manusia yang hakikat tugas kerjanya mengikut perintah dan arahan, mungkin inilah nasibnya.

Perlu demonstrasi, berarak di jalanan? Tak perlu.

Bak kata Tok Samad Janggut.. Tunjukkanlah protes anda di kertas undi nanti.

mmmm... 3 tahun lagi tu tok.

Status Quo

Mungkin cukuplah cerita pasal politik ketika ini. Tahniah kepada YB yang menang pilihanraya di 2 batu da 1 sungai itu. Status Quo.

Sekarang masa untuk bekerja menyelesaikan masalah rakyat. Yang dah janji tu, tunaikanlah janji-janji manis yang ditaburkan. Nak berjasa dan menabur bakti, berjasalah dan berbaktilah.

Pinjam kata Tok Hisyam.. tak payahlah nak jadi petualang. Pinjam kata Tok Guru Nik Aziz..jangan buat perkara yang 'memalukan'.

Saya pernah sebut sebelum ini, mungkin orag yang paling tidak boleh dipercayai ialah orang politik.

Wallahu A'lam.

************************

Saya doakan negara Malaysia tak jadi macam Thailand. Saya doakan juga negara Malaysia jadi negara Islam. Negara adil dan di bawah naungan Ilahi.

Saya doakan juga umat Islam dapat bersatu. Tidak berpecah belah. Mudah-mudahan tidak berlaku seperti percakaran di Palastin. Tidak juga berlaku seperti di Afghanistan. Tidak juga berlaku seperti di Pakistan. Apa lagi tidak berlaku seperti di Thailand.

Jaminkah negara ini tidak akan berlaku seperti negara-negara berkenaan. Jaminan siapa perlu saya dapatkan?

Apa bukti kebaikan?

30 Mac 2009: Perhimpunan Jabatan Pendaftar telah diadakan dan dihoskan oleh Bahagian Keselamatan di perkarangan Bangunan Keselamatan yang baru siap ini.

Maka berpesanlah Pendaftar kepad seluruh anak buahnya untuk berusaha gigih memberikan khidmat yang terbaik kepada UMS.

Suasana 'feel good' yang ada pada Jumaat yag lalu masih ada. Maka beliau bertanyalah kepada kami yang sedang kepanasan berjemur ini, apa bukti kebaikan yang telah kita buat?

Bukti kebaikan yag kita buat selalunya dapat dari maklumbalas yang positif dan baik daripada pihak ketiga. Maksudnya kita tidaklah merasa 'syok' sendiri sedangkan orang lain bercakap sebaliknya mengenai kita.

Mungkin juga.

Mungkin juga.

"Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain"

Hari Ini Dalam Sejarah

27 Mac 2009: Saya fikir sejarah tersendiri telah dicapai oleh Jabatan saya apabila telah membolot 3 hadiah yang ditawarkan semasa berlangsungnya sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat UMS.


Saya yakin program pertandingan yang dianjurkan adalah tidak lebih daripada usaha pearik kepada kakitangan UMS untuk hadir meraikan program sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti ini.


Program sambutan ini telah dimulakan denga penghakiman terhadap sepanduk yang dibawa oleh setiap kontinjen. Seterusnya perarakan kontinjen bermula dari perkarangan letak kereta Masjid UMS menuju ke Dewan Canselor. Taklah jauh. Saya fikir sekitar 2 KM sahaja.


Majlis Sambutan diteruskan lag di dalam Dewan Canselor degan ucapan Naib Canselor dan Dekan Sekolah Sains dan Teknologi. Kemudiannya diisi dengan ceramah oleh Al Fadhil Ustaz Nicholas Sylvester. Ustaz Nicholas banyak bercerita mengenai pengalamannya sebelum memeluk Islam dan perjalanan dirinya hidup di bawah naungan hidayah Ilahi. Tak lama ceramahnya sekitar 30 minit sahaja. Mesejnya jelas dan mudah.


Program sambutan in telah diakhiri dengan pengumuman pertandingan-pertandingan yang dijalankan sempena sambutan maulidur rasul ini.


Walah.... Jabatan Pendaftar tanpa disangka diumumkan Johan bagi Kontinjen Terbaik, Sepanduk terbaik dan Peserta Paling Ramai.


Baguslah tu, adalah diharapkan ini semua tanda-tanda kemajuan dan kesungguhan Jabatan Pendaftar untuk membangun dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga UMS

Wanted, Pra-Sedar

Memang dah jadi lumrah dunia semuanya dijadikan berpasangan. Ada lelaki adalah wanita. Putih lawannya hitam. Siang berlalu malam menjelma. Miskin harta, selalu dipasangkan dengan kaya budi. Orang baik, mesti ada juga yang jahat.

Nak tengok macam mana contoh orang jahat, pergilah ke balai polis dan tengoklah papan kenyataan manusia-manusia 'wanted' ini.
Anda kenal orang ini? Kalau jumpa, laporkanlah kepada balai polis yang berdekatan.


Gambar ini diambil di balai polis Sentul, Kuala Lumpur ketika mengikuti mesyuarat Penggubalan Perlembagaan IPTA di Dynasty Hotel, KL pada 7-9 April yang lalu.



******
Pra-Sedar


Manusia memang boleh berkeadaan Pra-Sedar. Kita fikir tindakan kita wajar tetapi orang lain katatak kena. Apa pandangan anda dengan gambar ini.

Gambar ini diambil di balai polis Sentul pada 8 April 2009. Jangan Marah tuan!!!

Takziah 2

9 April 2009- saya telah memerima berita kematian saudara Azman bin Muhammad, pensyarah di Sekolah Sains Sosial, UMS. Saya bersama Prof Dr Amran Ahmed yang kebetulan berada di Kuala Lumpur telah menghadiri pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bangi.

Kepada isteri Allahyarham, Dr Kalsom yang juga kakitangan UMS, takziah diucapkan. Semoga Roh Allahyarham ditempatkan Allah di makam orang-orang yang beriman dan dicucuri rahmat-Nya.
Saya tidaklah mengenali beliau secara rapat tetapi pernah berurusan dengan beliau apabila menguruskan PTK bagi gred B1 (jurugambar) pada tahun 2004 dahulu. Allahyrham telah banyak membantu saya dalam penggubalan soalan bagi gred ini dan juga menjadi pemeriksa kepada kertas berkenaan.

Saya difahamkan bahawa arwah telah menderitai penyakit Prostate Cancer sejak 2 tahun yang lalu. Penyakit ini mungkin telah merebak dan menjadi sebab kematiannya.

'Sesungguhnya setiap insan ini akan menemui dan merasai kematian'.'Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.'

Cuti Panjang

Mungkin lama juga saya tidak bercuti panjang dan menghabiskan cuti itu jauh dari rumah.

Alhamdulillah, rancangan bercuti balik ke kampung di Malaka menjadi kenyataan pada 14-19 Mac 2009 yang lalu.

Seronok melihat gembiranya anak-anak ketika itu.

Perasaan sayu juga timbul meihat atuk sebelah bonda yang sudah semakin uzur.

Terperajat melihat adat menjunjung pengantin hidup semula. Tahniahlah Zahia, sepupu saya yang bertemu jodoh dengan lelaki jawa Klangnya itu.

Sepanjang bercuti, tutup mata saja melihat duit yang ada habis dibelanjakan.

Paling sedih, apabila semua kenangan itu tak dapat ditunjukkan dengan sesiapa oleh kerana kamera yang dibawa tercicir entah di mana pada hari-hari akhir bercuti.

Wah wawa awaa...

Takziah 1

5 April 2009, Kakak kepada ayahanda saya telah pulang ke rahmtullah akibat sakit tua. Alfatihah kepada Allahyarhamah Hajah Dg Sarinah Marshid yang kami kenali dengan gelar Babu Inang.

Kepada ahli keluarga Babu Inang yang kini telah kehilangan kedua-dua orang tua mereka saya harap dapat bersabar dan banyakkanlah medoakan kesejahteraan arwah bonda dan ayahanda mereka. Tiada hadiah lain yang lebih baik, berguna dan hebat dapat diberikan kepada mereka selain daripada do'a anak kepada kedua orang tuan mereka.