Hilanglah kerinduan ummi dan anak-anak apabila dapat berkumpul semula seperti biasa. Dan bapanya jugalah..
Hasil keputusan biopsi yang dijalankan oleh Prof Pang telah menunjukkan tumor yang terdapat pada lengan isteri saya bukanlah jenis yang merbahaya, walaupun perlu dikeluarkan juga pada tahun hadapan, di Hospital Umum Sarawak juga. Walaupun keputusan biopsi berkenaan masih di peringkat awal dan belum ada keputusan penuh dan bertulis oleh pakar patologi, namun ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebimbangan isteri dan saya sendiri.
Memang tak sanggup rasanya, jika keputusan yang diberikan adalah sebaliknya. Apalagi setelah melihat deritanya pesakit-pesakit yang sedang dirawat bersebelahan katil isteri.
Apapun, setinggi-tinggi penghargaan saya berikan kepada Prof Pang, Puan Angelia dan nurse-nurse yang telah menjaga, merawat dan memberikan perhatian yang baik terhadap isteri saya sepanjang 2 minggu berada di bawah jagaan mereka.
Memang antara anugerah Allah yang besar di dunia ini ialah anugerah kesihatan. Putus satu urat kecilpun, akan memberikan banyak kecelakaan kepada diri kita. Justeru, nikmat yang ada ini memang dan semestinya disyukuri dan menjadikan kita hamba yang lebih taat kepada Penciptanya.
Ikhtiar adalah satu perkara yang perlu, apabila musibah melanda, sabar dan ikhtiar memang perlu dilaksanakan. Tawakkal kepada Allah setelah segala usaha dicurahkan. Saya yakin di situlah nanti akan ada kemanisan terhadap segala kepahitan yang dilalui. Insya Allah.
'Oleh itu, maka bahawa seseungguhnya tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sunguhlah engkau berusaha (menjalankan amal salih yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon.'
(Surat Al Insyirah (94): ayat 4-8)
No comments:
Post a Comment