Saturday, December 13, 2008

Sayang isteri tinggal-tinggalkan

Berat juga hati nak tinggalkan isteri hari ni. Tapi difikirkan adalah perlu juga untuk balik semula memandangkan banyak kerja yang perlu diselesaikan.

Isteri pula dijangka boleh keluar hospital seawal-awalnya isnin atau selasa depan. Tiada yang boleh dilakukan lagi ketika ini memandangkan beliau masih menunggu keputusan biopsinya. Apapun keputusan biopsi, pembedahan membuang ketumbuhan tu tidak boleh juga dijalankan pada masa ini memandangkan bilik bedah semuanya ditutup oleh pihak pengurusan hospital bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan akhir tahun. Pembedahan dijadualkan pada 8 Januari 2009. Itupun sekiranya didapati serius. Jika tidak, mereka akan nasihatkan pembedahan dibuat di Sabah sahaja.

Bagi saya, kena baliklah awal sedikit daripada isteri memandangkan banyak kerja yang tertangguh menunggu di pejabat. 2 anak saya pun dilaporkan dah mula demam. Balik ni pun nak tengok dan bawa mereka ke klinik. Sekarang ni makan ubat demam 'cousin' sahaja. Kesian mereka, cuti ini masih tidak ke mana-mana.

***************

Sepanjang 9 hari berada di Hospital Kuching ini, macam-macam disaksikan. Macam-macam kesakitan yang Allah bagi kepada hambaNya..

Ada yang patah kaki, ada yang menderita kanser tulang, ada 'baby' yang ketumbuhan di kepala, ada yang kaki kena potong, ada yang patah tangan, ada yang kakinya bersambung besi. Maklumlah wad otopedik.

Pada saya, tempat terbaik untuk muhasabah diri ada 2: satu pergilah ke Hospital, dua pula pergilah ke tanah perkuburan. Bersendirian di dua tempat ini pasti akan menyedarkan kita semula mengenai tujuan keberadaan kita di sini.

Hanya saya menyedari, tempat paling terbaik ini lah juga tempatnya ramai di kalangan hambanya yang masih gagal melunaskan fardu ain terhadap dirinya. Nampaknya isu solat masih menjadi isu besar. Mungkin kerana memang tidak solat atau mungkin kerana tidak tahu nak bersolat bagaimana ketika kaki atau tangan atau kepala dibalut, disimen atau tergantung di besi katil mereka.

Sayangnya...

Kena adalah orang masjid, Imam, pegawai agama (lelaki dan perempuan) atau sesiapa sahaja untuk menjengah seminggu sekali wad-wad sebegini memberikan ajaran dan bimbingan kepada pesakit mengenai cara bersolat ketika sakit sebegini.

9 hari saya di sini, dah 2 orang dari Gereja datang menemui pesakit-pesakit beragama kristian memberikan galakan, bimbingan dan doa.

Tertunggu-tunggu saya mana pula ustaz ustazah imam pegawai agama yang ada di sini...

1 comment:

en_me said...

tajuk yg me pun paham.. salammmz