Satu artikel analisis yang saya fikir baik untuk dibaca. Saya ambil dari Utusan Malaysia hari ni. Jika difikirkan betul-betul, mungkin inilah punca sebenarnya masalah umat Islam di Palestin. Mungkin, jika ingin tragedi di Palestin ini diselesaikan, Israel/Yahudi bukan isu nombor 1, tetapi kesatuan fikiran dan perpaduan tulen umat Islam khususnya di negara-negara Asia Barat sana. Jangan gah dan taksub dengan kelab bola, kelab kuda, bina bangunan paling tinggi, ikut punggung negara barat, pangkat, harta dan kedudukan.
Selagi tidak ada perpaduan, dan kesatuan di kalangan umat Islam, di kalangan negara Islam, di kalangan pemimpin negara Islam, maka jadilah kita seperti 'Anjing menyalak bukit' kerana kitalah sebenarnya punca pertamanya, sedangkan Yahudi/rejim Zionis ini hanyalah sebab sahaja yang telah Allah aturkan untuk mengingatkan kita.. atau kita sahaja yang tidak sedar.
***
Palestin mangsa Asia Barat
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)
KEGANASAN berterusan Israel di sebalik suara kutukan demi kutukan kebanyakan masyarakat dunia membayangkan betapa kaum Yahudi itu tidak pernah mengambil peduli desakan antarabangsa. Resolusi demi resolusi yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa sejak 60 tahun krisis Asia Barat itu juga tidak ubah seperti hamparan kaki buat Israel serta penajanya Amerika Syarikat (AS).
Lalu pembunuhan secara terang-terangan Israel ke atas penduduk Palestin bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Palestin akan terus bermandi darah dan Israel akan terus mempunyai alasan untuk mewajarkannya meskipun buat 1,000 tahun lagi.
Namun apa yang cukup dikesalkan ialah pendirian negara-negara Islam terutamanya di rantau Arab yang seolah dirantai meskipun gegaran bom dan tangisan serta rintihan dari bumi Palestin dapat didengari oleh telinga mereka sendiri.
Mengapa negara-negara yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir dan Jordan terutamanya, serta negara-negara Islam lain di benua Arab begitu tega melihat nasib rakyat Palestin yang sebangsa dan seagama dengan mereka diratah oleh tangan-tangan jahat rejim Zionis?
Ramai yang melihat sikap berdiam diri negara-negara Arab itu kerana mahu melindungi kepentingan dan survival ekonomi serta kuasa masing-masing. Apatah lagi negara-negara bersempadan dengan Palestin seperti Mesir, Jordan dan Turki mempunyai hubungan diplomatik yang rapat dengan Israel serta sudah semestinya Amerika Syarikat.
Namun sesuatu yang lebih nyata, seperti yang disorot oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, sikap yang mendasari tindakan negara-negara Arab itu merupakan satu percaturan politik di Asia Barat.
Negara-negara Arab melihat apa yang berlaku di Palestin daripada kaca mata keseimbangan kuasa mereka tidak hanya di Palestin sendiri, sebaliknya lebih jauh lagi di seluruh Asia Barat.
Hakikatnya negara-negara Arab enggan berdiri di belakang perjuangan Hamas kerana bimbang kebangkitan dasar perjuangan Hamas bakal menjatuhkan rejim-rejim Arab yang korup.
Jika sejarah penubuhan Hamas diperhalusi, bibit-bibit penubuhannya tercetus menerusi pergerakan Ikhwan Muslimin yang bermula di Mesir selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah pada 1922. Pergerakan Ikhwan Muslimin itu menjadi ancaman yang menggugat kedudukan pemimpin politik sekular Mesir. Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sejak 60 tahun lalu, pemimpin gerakan itu berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti pembunuhan dan penyeksaan di Mesir.
Sentimen pergerakan Ikhwan Muslimin mula bertiup di kalangan rakyat Palestin apabila Israel menduduki negara itu secara tidak sah pada 1948. Daripada pergerakan yang sederhana, pendokong Ikhwan Muslimin di Palestin berkembang dengan pantas termasuk sehingga mampu membina kemudahan awam seperti sekolah, hospital termasuk universiti di Palestin.
Bagaimanapun kebangkitan sebenar Ikhwan Muslimin di Palestin dapat disaksikan ketika tercetusnya intifada yang pertama pada 1987, apabila pergerakan ini muncul sebagai sebuah gerakan massa dengan nama Hamas.
Memandangkan ketika itu sikap dan tindak tanduk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Fatah dilihat lebih tunduk kepada Israel dan AS, maka kebanyakan rakyat Palestin menggantung harapan kepada Hamas untuk meneruskan perjuangan nasional Palestin dan mempertahankan hak umat Islam di Baitulmaqdis.
Kebangkitan Hamas itu tambah Hafidzi, tidak hanya merupakan ancaman kepada Israel, sebaliknya juga menjadi ketakutan kepada rejim dan kuasa Arab.
Apatah lagi negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi, Syria dan negara Teluk lain mempunyai sejarah yang panjang dengan pergerakan Ikhwan Muslimin yang menjadi teras kepada Hamas.
Sokongan padu terhadap Hamas pastinya menggugat keseimbangan kuasa politik di Asia Barat sehingga berkemampuan meniup kebangkitan di kalangan penduduknya untuk menentang rejim-rejim Arab yang korup.
''Kerana itu tidak ada satu pun negara Arab yang mengadakan sistem pilihan raya demokrasi kerana mereka amat yakin sekiranya sistem demokrasi itu itu dilaksanakan, maka rejim-rejim Arab yang korup ini sudah lama ditolak oleh rakyat dan digantikan dengan pemimpin yang lebih berjiwa rakyat dan berjiwa Islam," jelas Hafidzi.
Ironinya ketika negara-negara Arab masih mengekalkan sistem monarki mutlak dalam meneruskan kekuasaan iaitu menerusi pewarisan kuasa, Israel merupakan satu-satunya negara di Asia Barat yang mengamalkan prinsip demokrasi.
Justeru, apabila Palestin mengadakan pilihan raya legislatif pada Januari 2006 yang menyaksikan Hamas dipilih sebagai parti pemerintah yang sah, kemenangan itu dinafikan tidak hanya oleh Israel tetapi juga oleh kalangan negara Arab sendiri. Keadaan ini memperlihatkan ketakutan rejim Arab terhadap kebangkitan semangat demokrasi di kalangan rakyat Palestin yang boleh tersebar di kalangan penduduk di benua Arab yang lain.
Atas alasan itu juga jelas Hafidzi, negara-negara Arab mengambil sikap berdiam diri ke atas sekatan dan serangan terhadap Palestin kerana mahu melihat Hamas ditumbangkan dan berkubur dari landskap politik di Asia Barat keseluruhannya.
Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila serangan terbaru ke atas Palestin ketika ini juga disambut dengan kritikan ke atas Hamas oleh pemimpin negara Arab kebanyakan. Malah Fatah sendiri menerusi Presiden Mahmoud Abbas meletakkan kesengsaraan rakyat Gaza sebagai tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Hamas.
Tindakan Fatah itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka sebelum ini sudah dilihat berdiri di belakang Israel bagi menghapuskan kumpulan Hamas di bumi Palestin. Malah, Fatah juga sanggup melihat nasib rakyat sebangsa dan seagama terus ditindas kerana mahu rakyat Gaza menyalahkan Hamas di atas serangan Israel ketika ini.
Malangnya baik Israel, AS, Fatah mahupun negara-negara Arab, tersilap dalam menduga sokongan rakyat Palestin.
Sokongan rakyat Palestin terhadap Hamas semakin meningkat dan dipercayai akan terus subur biarpun selepas episod peperangan kali ini. ''Hakikatnya meskipun berpuluh-puluh bedilan peluru dan mortar tentera Israel menghujani Gaza dan membunuh ratusan nyawa rakyat Palestin, tidak ada tanda-tanda untuk rakyat Palestin berpaling tadah dan mengkhianati perjuangan bersama Hamas," ujar Hafidzi.
Namun jika aksi keganasan tentera Zionis ketika ini dipandang dari sudut realiti, sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah Hamas berhadapan dengan penentangan yang sangat sulit dan getir.
Apatah lagi tindak-tanduk Israel yang semakin menggila termasuk menggunakan kekuatan udara, laut dan darat membayangkan bahawa mereka sebenarnya bermaksud untuk menghapuskan Palestin secara total dalam peta dunia.
Keadaan ini membawa kepada satu pertanyaan yang sangat besar iaitu mampukah Hamas dalam serba kekangan menentang kemaraan tentera Yahudi?
Bagi Hafidzi, kekuatan Hamas dan pejuang Islam di Palestin yang terbina sejak berpuluh-puluh tahun lalu merupakan satu rahsia yang tidak mungkin dicongak oleh Israel. Dalam keadaan dibedil bertalu-talu sama ada dari udara dan darat, serta di sebalik keangkuhan Israel yang mendakwa mereka berjaya melumpuhkan sebahagian besar kemampuan Hamas, sekurang-kurangnya 45 bedilan roket dilancarkan ke wilayah Israel kelmarin.
Malah, buat pertama kalinya juga, roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin mensasar sehingga 60 kilometer ke dalam wilayah Israel, iaitu satu jarak yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
Keadaan ini membayangkan betapa Hamas mempunyai kekuatan persenjataan yang tidak boleh dijangkakan.
Sesuatu yang pasti ujar Hafidzi, Hamas bukanlah sebuah entiti tentera sebaliknya merupakan organisasi yang mendapat sokongan seluruh masyarakat Palestin. Justeru, kekuatan Hamas tidak wajar diukur dengan kekuatan fizikal mahupun ketenteraan dan persenjataan.
Atas pendirian yang sama juga Israel sewajarnya menghentikan serangan ke atas Palestin terutamanya di Gaza kerana tindakan itu tidak mungkin akan melemahkan sebuah organisasi massa seperti Hamas meskipun berpuluh-puluh pemimpinnya terkorban.
''Jika Israel masih berdegil dan berterusan menyerang Palestin, negara Yahudi itulah yang akan menerima bencana ketenteraan, politik dan diplomasi antarabangsa yang semakin kuat dan lantang menolak kekejaman mereka," tambah Hafidzi.
Ketika tiada tanda-tanda untuk kekejaman Zionis berakhir dalam masa terdekat, dan berpuluh-puluh lagi nyawa rakyat Palestin terus menjadi korban hari demi hari, sewajarnya rakyat Malaysia bangkit menunjukkan penentangan terhadap kejahatan Israel itu.
Aksi demonstrasi dan bantahan dalam skala mega perlu digerakkan di seluruh negara dalam menyuarakan penentangan terhadap kezaliman Israel.
Malah, suara kutukan juga perlu ditujukan kepada negara-negara Arab yang mengambil tindakan bacul dan pengecut serta terhadap AS yang menaja kejahatan Israel. Seluruh rakyat Malaysia juga perlu berganding bahu dan bangkit menentang tindakan ganas, biadap dan kebinatangan Israel dan tidak melihat konflik itu sebagai Islam menentang Yahudi, sebaliknya pelanggaran hak asasi yang paling menjolok mata.
Malah PACE seperti yang dijelaskan oleh Hafidzi juga, berharap supaya lebih banyak dialog, seminar, ceramah dan majlis ilmu mengenai konflik sebenar di Palestin diadakan di seluruh negara bagi mematahkan propaganda dan pembohongan oleh media Barat.
Rejim Zionis ketika ini berselindung di sebalik media dengan memanipulasi hakikat dan menggambarkan mereka sebagai mangsa sedangkan merekalah penjenayah sebenar yang perlu dihapuskan.
PACE dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia juga tambah Hafidzi, menyeru rakyat Malaysia supaya terus memberi sokongan kepada pelbagai pihak yang sedang giat menjelaskan isu ini kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment