Saya memang boleh dikategorikan sebagai peminat dan pencinta buah durian. Kalau ada sepuluh biji pun, saya boleh habiskan. Durian ni memang terkenal dengan baunya. Hidung saya memanglah mengkalsifikasikan baunya sebagai harum. Taklah macam isteri saya yang akan pening kepala kalau tercium bau durian ni. Sorry ya sayang...
Bau durian ini sembunyilah macam mana, tetap akan tercium juga akhirnya.
Maka apabila saya membaca perlantikan Dr Juanda Jaya sebagai Mufti Negeri Perlis, saya rasa sungguh gembira. Saya fikir Dr Juanda Jaya memang layak untuk diberikan peluang berkhidmat di institusi kemuftian di negara ini.
Saya hanya sempat mengenali beliau selama 2 tahun semasa belajar di Kolej Islam Klang dahulu. Juga dengan bekas mufti Perlis dahulu Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang juga belajar di kolej yang sama. Sepanjang 2 tahun mengenali kedua-dua mereka ini di usia remaja, sememangnya telah terserlah kehebatan dan kemampuan mereka dalam bidang kefahaman Islam dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain.
Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika itu dikenali sebagai pemain pita rakaman (tape recorder) kerana kemampuannya mengulang kembali patah demi patah ceramah-ceramah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kalau dengar ceramah beliau, pasti seperti mendengar Haji Hadi berceramah.
Dr Juanda Jaya pula ketika itu lebih spritual. Kewarakannya lebih dipengaruhi oleh Kumpulan Al-Arqam yang ketika itu cukup hebat. Pernah satu ketika ketika kami ditugaskan dalam satu persembahan kesenian Islam, beliau begitu 'nervous'. Beliau solat hajat dan berzikir sendirian memohon persembahan berkenaan dapat berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat dakwahnya. Kemampuan bahasa arabnya pula memang menakjubkan ketika itu apabila selamba berkomunikasi dengan seorang Pak Arab di Perkampungan Sungai Penchala, ketika kami masa itu terkial-kial menyusun ayat untuk bercakap.
Setelah lebih sedekad tidak bertemu dan putus komunikasi, berita perlantikan beliau ini memang amat menggembirakan. Memang kalau dah wangi dan harum tu, tetap akan tercium jua keharumannya.
Selamat berkhidmat kepada Dr Juanda Jaya. Semoga Allah akan sentiasa bersama-sama beliau ketika beliau bergelar mufti ini.
No comments:
Post a Comment