Monday, January 19, 2009

45,000

Saya tidak tahu bagaimana keadaannya sekiranya apa yang diramalkan menjadi kenyataan. Menjelang Tahun Baru Cina, 45,000 pekerja terutama dari sektor pengilangan akan hilang pekerjaan. Sehingga 12 Januari 2009, kira-kir 12,000 telah diberhentikan akibat kegawatan ekonomi yang melanda kini. Itu yang dilaporkan oleh Menteri Sumber Manusia.

Bagi saya yang makan gaji dengan Kerajaan ini, memang tak dapat mengerti perasaan mereka yang telah dan akan diberhentikan. Sumber kewangan yang dinikmati sebelum ini tiba-tiba terputus. Mereka ini pula terpaksa mencari kerja lain, jika ada. Yang bernasib baik mungkin dapat. Yang tidak bernasib baik, sudah pasti akan merasa tertekan.

Rezeki memang ditangan tuhan. Hanya manusia yang perlu memikirkan dan menentukan cara mendapatkan rezeki ini dan memutuskan sama ada rezeki yang dapat itu halal atau haram. Kesannya akan ada dua iaitu, yang pertama tekanan ini akan menyebabkan manusia mencari cara mudah dengan melakukan pelbagai jenayah. Kedua, tekanan ini akan menyebabkan manusia lebih kreatif dan lebih berani mencuba mendapatkan rezeki yang baik dan halal.

Masyhur di kalangan kita menerima sabda Rasulullah 9/10 rezeki itu adalah datang dari perniagaan. Mungkin ini yang sepatutya dilakukan oleh mereka yang hilang pekerjaan ini.

Saya ada mendengar soalan cepu mas pelajar sekolah sekarang ini, "Buat apa nak belajar di sekolah, habis belajar nanti tak juga dapat kerja. Ada orang yang tak pun tinggi pelajarannya tapi kaya raya juga". Tanyalah guru-guru sekolah mengenai soalan ini. Mereka pasti mendengarnya.

Maka isu pokoknya adalah soal pendidikan. Pendidikan yang kaku tidak akan menyediakan pelajar dan masyarakat terhadap cabaran sebenar selepas habis belajar. Ya lah, apa kena mengena belajar Geografi untuk mendapatkan kerja dan rezeki yang baik selepas tamat pembelajaran.

Sama jugalah di Universiti, setelah 3-4 tahun belajar, graduan-graduan ini ramai yang perlu dilatih semula untuk menyediakan mereka pada alam pekerjaan. Maka apabila ada lagi 45,000 orang lagi yang 'jobless' atau bakal menganggur, apa lagi yang boleh dilakukan?

Jadi benarlah mungkin soalan cepu mas itu: Belajar tinggi-tinggi pun bukan jaminan dapat kerja yang baik dan kaya. Nak jawab balik macam mana ya? Guru-guru ada nak jawab ka? 20 markah.

No comments: