Monday, July 25, 2011

Betul dan Benar

Apa bezanya perkataan 'betul' dan 'benar'? Bandingkan makna kata-kata terbitan dari perkataan ini.

Kebetulan----Kebenaran.
Pembetulan----Pembenaran.

Kamus Dewan mendefinisikan 'betul' sebagai benar, tidak salah, tepat, langsung. Perkataan 'benar' pula bermaksud tidak salah, betul, tepat, memang demikab halnya, sungguh, sah.

Menarik apabila peribahasa melayu menyebut: 'berani kerana benar'. Pelik juga didengar kalau ia disebut; 'berani kerana betul'.

Maka pasti ada sedikit perbezaan di antara 'betul' dan 'benar'.

Apa pula lawan kepada perkataan 'betul' dan 'benar'. 'Betul' lawannya 'salah'. 'Benar' lawannya 'dusta'.

Cuba fikirkan kenyataan berikut:

'Yang benar ialah kebenaran yang betul kerana kebenaran pasti betul. Kalau betul belum tentu benar.'

'Fakta benar memerlukan kesimpulan yang betul'.

Banyak sangat peristiwa yang berlaku yang memerlukan kita memberikan pendirian kita. Pendirian ini mudah didirikan jika kita ada fakta yang benar yang sudah pasti perlu diperolehi daripada data-data yang betul. Tetapi oleh kerana manusia ini dibekalkan dengan akal dan juga nafsu, maka tidak semua yang betul itu dianggap benar.

Perhatikan tajuk berita ini!

TBH: DAP dakwa RCI bercanggah dengan SPRM
Tonton, nilai video Bersih diambil polis
Kematian Beng Hock berpunca daripada bunuh diri
Video, CCTV, gambar bukti kebenaran

Sudah jelas ada 2 pihak yang berkata mereka benar. Kalau begitu, siapa pula yang berdusta? Kalau jumlah 2 kumpulan ini besar, maka akan terjadi krisis dan konflik yang besar.

Jadi, apa pendirian saya? Macam ni lah, saya tak terlibat dan tak berada 'in person' dalam situasi itu. Maka saya terima laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan terima penerangan dan bukti yang dikemukakan polis.

Siapa bohong, biar Allah sahaja yang menghukumnya.
Manusia menilai apa yang ada dihadapannya. Kesimpulan dibuat sama ada dengan fakta yang betul, separuh betul, dusta, fakta yang dipusing dan dimanipulasi atau dengar cakap orang.

Alkahfi 18: ayat 54: "dan sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia dalam AlQuran ini dengan bermacam-macam perumpamaan.Tetapi manusia adalah memang yang paling banyak membantah"

Annisa' 4: ayat 83: "dan apabila sampai kepada mereka suatu berita tentang keananan ataupun ketakutan, mereka (langsung) menyiarkannya. (padahal) apabila meteka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil amri di antara mereka, tentulah orang- orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya (secara rasmi) dari mereka (rasul dan ulul amri). Sekiranya bukan kerana kurnia fan rahmat Allah kepadamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja.

Alan'am 6: ayat 67: "setiap berita mempunyai masa yang menentukannya (samada betul atau dusta), dan kelak kamu akan mengetahuinya."

Annur 24: ayat 14 dan 15: " dan seandainya bukan kerana kurnia Allah dan rahmatnya kepada mu di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, disebabkan oleh pembicaraan kamu tentang hal itu (berita bohong itu). (ingatlah) ketika kamu menerima (berita bohong) itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun, dan kamu menganggapnya remeh, padahal pada pandangan Allah itu soal besar".

posted from Bloggeroid

No comments: