Thursday, November 19, 2009

Seronoknya anak-anak kecil tu..

Pencapaian UPSR Meningkat - Alimuddin

PUTRAJAYA: Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini.Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas," katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

Di SABAH, sebanyak 9ll calon merekodkan pencapaian cemerlang gred 5A bagi semua subjek yang mencatatkan penurunan berbanding 995 calon pada tahun lepas.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan negeri Sabah Md Nor Md Sharif berkata Sekolah St Francis Convent, Kota Kinabalu muncul sekolah terbaik dengan 41 calon mendapat 5A diikuti Sekolah Yuk Chin di Tawau dengan 29 calon.

"Antara sekolah-sekolah lain yang mempunyai rekod cemerlang adalah SK St. Agnes, Kota Kinabalu iaitu seramai 30 calon, SK. St Monica, Sandakan sebanyak 27 calon seterusnya SK St. Patrick, Tawau iaitu 26 calon," katanya. BERNAMA 19 November 2009

Saya mendapat maklum di SK Tobobon, tempat anak saya belajar 19 pelajar UPSR telah berjaya mendapat 5A. Tahniah diucapkan kepada pelajar berkenaan, ibu bapa mereka dan juga kepada guru yang mengajar mereka ini.

Fakry, anak buah sebelah isteri saya juga telah menerima keputusan UPSR-nya. Tahniah juga tak kiralah apa keputusannya.

Usaha tangga kejayaan. Pergi ke sekolah dengan harapan, balik dengan kejayaan.

Yang keputusannya kurang menggembirakan.. usaha lagi.. masih banyak peluang.. tapi kenalah belajar daripada pengalaman ini...



No comments: