Saturday, November 14, 2009

Atas nama Islam..

Agensi risik Pakistan dibom

PESHAWAR: Agensi risik Pakistan, Badan Risik Antara Perkhidmatan (ISI) menjadi sasaran terbaru militan apabila sebuah bom kereta diletupkan berhampiran bangunannya di sini membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.

Dalam insiden berasingan di sebuah pekan di barat laut Pakistan, lapan anggota polis terbunuh, serangan terbaru semakin rancak dilancarkan militan sejak tentera kerajaan mengadakan operasi ke atas kubu Taliban di Wazirisitan Selatan.

Letupan bom kereta di sini hampir memusnahkan bangunan pejabat tiga tingkat ISI dengan sebahagian daripada bangunan itu roboh.

Asap tebal menjulang ke langit selepas letupan kuat itu dan serpihan bangunan bertaburan, kata saksi.

Lima mayat kelihatan terbaring di atas jalan, kata wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

PASUKAN keselamatan Pakistan mengawal di luar bangunan ISI yang musnah akibat serangan bom kereta, semalam.

Peshawar dan beberapa bandar berhampiran semakin menjadi sasaran sejak tentera kerajaan melancarkan operasi ke atas kedudukan Taliban dan Al-Qaeda sebulan lalu.

Absar Ahmed, seorang pemandu teksi berusia 25 tahun, berkata beliau sedang memandu berhampiran bangunan ISI itu apabila kedengaran tembakan yang disusuli oleh letupan kuat.

"Kereta saya terhumban ke kaki lima akibat ledakan dan kepala saya terhantuk ke cermin depan kereta. Apabila saya toleh ke belakang untuk memeriksa penumpang saya, asap tebal mengisi ruang penumpang teksi saya," katanya di hospital.

Kenyataan tentera berkata bom kereta itu diletupkan apabila ia tiba di pos pemeriksaan tentera di Artillery Road 6:45 pagi semalam (waktu tempatan).

"Tujuh anggota tentera dan tiga orang awam terbunuh dan 60 cedera," kata kenyataan itu.

"Sehingga 300 kilogram bahan letupan dan mortar dimuatkan dalam kereta itu," kata ketua polis wilayah North West Frontier, Malik Naveed.

Dalam kejadian serangan kedua, seorang penyerang bunuh diri merempuh sebuah balai polis dengan keretanya yang sarat dengan bom di Bannu, barat daya Peshawar, membunuh enam anggota polis dan mencederakan 23 orang.

"Antara yang cedera ialah 17 anggota polis, tiga anggota separa tentera dan tiga suspek di dalam lokap," kata ketua polis Bannu, Iqbal Marwat.



Semoga segala yang berlaku di negara-negara Islam ini tidak berlaku di Malaysia. Sesama saudara seagama menumpah darah. Dah menjadi trend, atas nama Islam, halal menumpahkan darah, hatta ke atas sesama saudara seagama.

Mungkin perkataan kasih sayang dan perpaduan tidak ada dalam ajaran Islam. Atau ia hanya diamalkan dalam kelompok-kelompok manusia dan kepada mereka yang terpilih.

Berita pembunuhan dan pengemboman sebegini tidak akan berhenti. Mungkin akan menjadi semakin dahsyat. Maka selama-lamanya umat Islam ini ditakuti, disalah faham, dianggap paranoid dan dipersendakan. Umat Islam pula marah dengan keadaan sebegini, makin hebat dengan tabiat dan trend sekarang. Maka kisah ini tetap tidak akan tamat selamanya.

Wallahu a'lam.

No comments: