Thursday, November 26, 2009

Selamat Menyambut Aidil Adha

Saya dan bagi pihak keluarga saya ingin mengucapkan selamat hari raya korban kepada semua ahli keluarga, sahabat dan kenalan sekalian.


Tahun ini ada ahli keluarga, sahabat dan kenalan yang telah berada di tanah suci Makkah menunaikan ibadah haji. Pak cik Bungsu Aziz, Saudara Zawawi Tiyunin, Dg Maimunah, Encik Hela Ladin dan Prof Madya Dr Shariff Omang. Semoga mendapat haji mabrur. Insya Allah.

Friday, November 20, 2009

CUTI SEKOLAH DAH !!!!

Musim cuti sekolah dah tiba. Anak-anak seronok sangat. Tak perlu bangun awal lagi. Boleh main PS2. Boleh tengok TV. Tak payah ke sekolah.

Jalan-jalan sempena cuti sekolah? Sehingga ini saya tidak ada rancangan. Sebabnya senang. Cuti saya kena dibatalkan kerana kena ikut PTK dan kerja yang banyak tak pandai habis-habis.

Buat anak-anak, selamat bercuti.

Lepas ni kena fikirkanlah jugak apa program nak dibuat bagi mengisi cuti sekolah ini.

Thursday, November 19, 2009

Seronoknya anak-anak kecil tu..

Pencapaian UPSR Meningkat - Alimuddin

PUTRAJAYA: Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini.Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas," katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

Di SABAH, sebanyak 9ll calon merekodkan pencapaian cemerlang gred 5A bagi semua subjek yang mencatatkan penurunan berbanding 995 calon pada tahun lepas.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan negeri Sabah Md Nor Md Sharif berkata Sekolah St Francis Convent, Kota Kinabalu muncul sekolah terbaik dengan 41 calon mendapat 5A diikuti Sekolah Yuk Chin di Tawau dengan 29 calon.

"Antara sekolah-sekolah lain yang mempunyai rekod cemerlang adalah SK St. Agnes, Kota Kinabalu iaitu seramai 30 calon, SK. St Monica, Sandakan sebanyak 27 calon seterusnya SK St. Patrick, Tawau iaitu 26 calon," katanya. BERNAMA 19 November 2009

Saya mendapat maklum di SK Tobobon, tempat anak saya belajar 19 pelajar UPSR telah berjaya mendapat 5A. Tahniah diucapkan kepada pelajar berkenaan, ibu bapa mereka dan juga kepada guru yang mengajar mereka ini.

Fakry, anak buah sebelah isteri saya juga telah menerima keputusan UPSR-nya. Tahniah juga tak kiralah apa keputusannya.

Usaha tangga kejayaan. Pergi ke sekolah dengan harapan, balik dengan kejayaan.

Yang keputusannya kurang menggembirakan.. usaha lagi.. masih banyak peluang.. tapi kenalah belajar daripada pengalaman ini...



Wednesday, November 18, 2009

Ranking Malaysia menjunam jatuh...

Perasaan sedih, malu dan tertanya-tanya..

Indeks Persepsi Rasuah tahun 2009 yang dikeluarkan oleh Transperancy International menunjukkan Malaysia menduduki tangga 56 dengan indeks persepsi sebanyak 4.5 sahaja. Tahun 2008, Malaysia menduduki tangga ke-47 dengan indeks 5.1. Tahun 2007 tangga ke-43 dengan indeks 5.0. Tahun 2006 tangga ke-44 dengan indeks 5.0.

Ini bermaksud tahun 2009 adalah merupakan prestasi terendah Malaysia dalam tempoh 4 tahun.

Rasa sedih kerana melihat tidak ada negara Islam yang menduduki tangga teratas indeks 2009 ini. Paling baik ialah Qatar (22), UAE (30), Brunei (39), Oman (39), Bahrain (46) dan Jordan (49). Arab Saudi yang kini sibuk menerima jemaah haji menduduki tangga 63.

Tak mengapa jika negara Islam dianggap lemah dalam bidang ketenteraan, ekonomi dan pendidikan. Tetapi apabila melihat laporan indeks berkenaan, nampaknya umat Islam juga dianggap lemah dalam jiwanya (spiritual). Saya yakin inilah antara dosa-dosa kering yang sedang ditanggung oleh setiap umat Islam kini.

Malaysia juga dalam status mediocre ini.

Maka apakah yang patut dibuat. Apa yang patut didahulukan. Apa yang patut diutamakan. Jihad utama Kerajaan kini ialah meletakkan keutamaan dalam 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Saya tidak pasti rakyat faham mengenai 6 bidang NKRA ini. Saya tahu Kerajaan melalui agensi-agensinya dikerah menyediakan KPI bagi bidang NKRA yang berkaitan dan memastikan ia tercapai. Persoalannya ialah adakah ia akan tercapai atau dilaporkan baik di kertas sahaja. Cukup berkesankah atau teraturkah pelaksanaannya.

Malaysia bolehlah belajar dari New Zealand, Denmark dan paling dekat Singapura bagaimana menangani masalah rasuah ini. Saya tak tahu.

Perkataan magik dan motivasi yang selalu orang guna.. " Orang lain boleh buat.. mengapa kita tak boleh buat".. mungkin hanya ditafsirkan seperti ini sahaja.. "Orang lain boleh rasuah.. mengapa kita tak boleh"..

Maka jadilah kita seperti Luncai terjun dengan labu-labunya..kita kata.. biarkan-biarkan.


Good Luck

Maka bermulalah lagi minggu peperiksaan SPM pada hari ini. Kepada semua calon-calon SPM selamat menduduki peperiksaan SPM dan selamat berjaya [siapa la yang baca blog ni.. hehehe].

Ain, anak buah sebelah isteri saya, juga adalah calon SPM pada tahun ni. Selamat berjaya.

Tak lah perlu risau, kerana apa yang telah diusahakan sebelum ini itulah yang akan kita dapat. Yang penting sekarang ni ialah banyakkan berdoa, solat hajat.. mudah-mudahan Allah akan melapangkan fikiran dan memberikan ketenangan untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan.

Saya masih ingat lagi pengalaman semasa menduduki SPM tahun 1989 dahulu. Itulah senjata paling hebat selain usaha berterusan membaca dan membuat latihan. Solat hajat tak tinggal setiap hari. Amalan yang paling tak tinggal ialah menelefon ibu dan ayah meminta restu dan doa mereka.

Selamat menjawab soalan. Selamat berjaya.

Tuesday, November 17, 2009

Lagi Pilihanraya

Utusan Malaysia Online - Politik

Pengundi Kota Siputeh akan membuang undi sekali lagi. Beginilah susahnya mencari pemimpin. Sudah diberikan amanah memimpin gagal pula menjalankannya. Kalau yang mahu menjalankannya pula, atas dasar prinsip pula, mahu meletak jawatan dan mencabar sesiapa sahaja untuk melawannya dalam pilihanraya kecil baru. Sedap mulut saja cakan macam tu.

Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Slogan keramat. Hanya pemimpin dan wakil rakyat sahaja yang selalu lupa dan buat-buat tak faham dan tak nak terima slogan keramat ini.

Saturday, November 14, 2009

Atas nama Islam..

Agensi risik Pakistan dibom

PESHAWAR: Agensi risik Pakistan, Badan Risik Antara Perkhidmatan (ISI) menjadi sasaran terbaru militan apabila sebuah bom kereta diletupkan berhampiran bangunannya di sini membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.

Dalam insiden berasingan di sebuah pekan di barat laut Pakistan, lapan anggota polis terbunuh, serangan terbaru semakin rancak dilancarkan militan sejak tentera kerajaan mengadakan operasi ke atas kubu Taliban di Wazirisitan Selatan.

Letupan bom kereta di sini hampir memusnahkan bangunan pejabat tiga tingkat ISI dengan sebahagian daripada bangunan itu roboh.

Asap tebal menjulang ke langit selepas letupan kuat itu dan serpihan bangunan bertaburan, kata saksi.

Lima mayat kelihatan terbaring di atas jalan, kata wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

PASUKAN keselamatan Pakistan mengawal di luar bangunan ISI yang musnah akibat serangan bom kereta, semalam.

Peshawar dan beberapa bandar berhampiran semakin menjadi sasaran sejak tentera kerajaan melancarkan operasi ke atas kedudukan Taliban dan Al-Qaeda sebulan lalu.

Absar Ahmed, seorang pemandu teksi berusia 25 tahun, berkata beliau sedang memandu berhampiran bangunan ISI itu apabila kedengaran tembakan yang disusuli oleh letupan kuat.

"Kereta saya terhumban ke kaki lima akibat ledakan dan kepala saya terhantuk ke cermin depan kereta. Apabila saya toleh ke belakang untuk memeriksa penumpang saya, asap tebal mengisi ruang penumpang teksi saya," katanya di hospital.

Kenyataan tentera berkata bom kereta itu diletupkan apabila ia tiba di pos pemeriksaan tentera di Artillery Road 6:45 pagi semalam (waktu tempatan).

"Tujuh anggota tentera dan tiga orang awam terbunuh dan 60 cedera," kata kenyataan itu.

"Sehingga 300 kilogram bahan letupan dan mortar dimuatkan dalam kereta itu," kata ketua polis wilayah North West Frontier, Malik Naveed.

Dalam kejadian serangan kedua, seorang penyerang bunuh diri merempuh sebuah balai polis dengan keretanya yang sarat dengan bom di Bannu, barat daya Peshawar, membunuh enam anggota polis dan mencederakan 23 orang.

"Antara yang cedera ialah 17 anggota polis, tiga anggota separa tentera dan tiga suspek di dalam lokap," kata ketua polis Bannu, Iqbal Marwat.



Semoga segala yang berlaku di negara-negara Islam ini tidak berlaku di Malaysia. Sesama saudara seagama menumpah darah. Dah menjadi trend, atas nama Islam, halal menumpahkan darah, hatta ke atas sesama saudara seagama.

Mungkin perkataan kasih sayang dan perpaduan tidak ada dalam ajaran Islam. Atau ia hanya diamalkan dalam kelompok-kelompok manusia dan kepada mereka yang terpilih.

Berita pembunuhan dan pengemboman sebegini tidak akan berhenti. Mungkin akan menjadi semakin dahsyat. Maka selama-lamanya umat Islam ini ditakuti, disalah faham, dianggap paranoid dan dipersendakan. Umat Islam pula marah dengan keadaan sebegini, makin hebat dengan tabiat dan trend sekarang. Maka kisah ini tetap tidak akan tamat selamanya.

Wallahu a'lam.

Friday, November 6, 2009

BAGUSNYA KALAU SELALU BEGINI

Kerabat Arab beri Rosmah RM7 juta hargai kejujuran
06/11/2009 3:57pm Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 6 Nov. — Semasa bercuti dengan keluarga di selatan Perancis pada Ogos lepas, Datin Seri Rosmah Mansor terjumpa sebuah kotak milik Putera Saud Al-Saud dari Arab Saudi dalam sebuah bot dan memulangkannya kepada kerabat diraja itu.

Sebagai balasan kerana kejujurannya itu, isteri Perdana Menteri diberikan US$2 juta untuk rakyat Malaysia yang memerlukan. Hari ini, Rosmah mengagihkan sebahagian wang itu berjumlah RM20,000 setiap satu kepada 13 persatuan amal termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia dan Persatuan isteri wakil rakyat Barisan Nasional di setiap negeri.

Beliau berkata, US$1 juta lagi akan diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menguruskan Sekolah Permata Pintar bagi menampung pembelian keperluan sekolah manakala baki RM2.98 juta akan disimpan dalam tabung khas Bakti bagi membiayai kos rawatan kanak-kanak dan wanita yang berpenyakit kronik yang tidak berkemampuan. - Bernama



Tolak ketepi apa-apapun sentimen politik di sini. Alangkah seronoknya jika perkara ini berlaku selalu. Ramai yang akan mendapat faedahnya terutama kepada mereka yang tidak bernasib baik.


Sememangnya tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Ketika waktu ramai penjawat awam sedang menghitung hari menunggu hari gaji ketika ini, terfikir tentang pentingnya mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung keperluan dan hidup dalam keadaan selesa.


Lebih seronok lagi jika wang lebih yang ada itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan kebaikan dan kebajikan. Impaknya lebih besar. Jika ikhlas, pasti kebaikan melimpah ruah dijanjikan sebagai bekalan di akhirat nanti.


Maka rezeki makan gaji ini sememangnya hanya 10% daripada rezeki yang ada. 90% lagi diperuntukkan kepada mereka yang rajin berusaha dan tetap dalam perniagaan.


Banyak contohnya. Lihat sekeliling. Memang ada caranya. Tak percaya.. dah ada keluarga terdekat saya yang sedang mengecapi nikmat hasil 5 angka hanya dengan terlibat secara sambilan dengan produk kesihatan 4Lifenya. Tak lama.. baru 2 bulan mula.


Jadi apa lagi.. tepuk dada tanyalah selera. Selera besar sudah pasti besar belanjanya. Kalau dah tahu besar belanja, faham-fahamlah fikirkan cara mencarinya.. sudah pasti dengan secara halal dan baik.

Monday, November 2, 2009

JAIS oh JAIS


Kesian Dr Asri.. kena tangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana memberikan ceramah agama tanpa tauliah. Rujuk http://drmaza.com/home/ untuk mendapatkan gambaran sebenar.


Menghayati rukun negara ke-4 iaitu kedaulatan undang-undang, mereka yang melanggar undang-undang memang berhak untuk ditangkap oleh pihak berkuasa. Hanya apabila menangkap Dr Asri oleh pegawai JAIS ini, ia mendatangkan kehairanan yang teramat memandangkan beliau bolehlah dianggap sebagai tokoh agama di Malaysia ini.


Kejadian ini sememangnya mengundang perspektif negatif kepada pegawai agama, yang akan dianggap lekeh, hanya bersifat menghukum dan dangkal pertimbangan dan hikmah.


Dr Asri sememangnya tidak lekang dek isu-isu panas yang sering mengelilingi beliau. Fikrah dan pendapatnya sering dicabar, dicerca dan dilabel. Memang begitulah sunnahnya barangkali. Itulah yang berlaku kepada imam shafie, imam bukhari dan lain-lain ulama silam. Ketika hayat diserang, hanya setelah mati baru diingat dan disanjung.


Saya mendoakan kesejahteraan kepada beliau dan juga kepada semua mujahid yang ikhlas menjunjung agama Islam yang suci dan mempertahankannya. Amin