Tuesday, August 24, 2010

Rahmat-Nya dipinta.

Alhamdulillah. Sudah 15 hari berpuasa. Rasanya tiada apa-apa masalah setakat ini menghadapi Ramadan yang penuh berkat ini. Tapi bagaimana pula dengan saudara-saudara seislam yang lain?

Pakistan: Lebih 4 juta rakyatnya hilang tempat tinggal. Mereka sedang menghadapi wabak penyakit akibat banjir ini. Mereka juga sedang menderita kebuluran. Ini semua berlaku ketika ramadan menjelang.

Palestin: Kita maklum dengan kepayahan dan kesengsaraan mereka. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan rakyat Palestin yang sedang menderita itu.

Malaysia:

i. Kuala Terengganu. Khairil Arif, 6 tahun, mati terhumban ke atas pokok akibat letupan mercun di rumahnya. Ini semua adalah kerja bapanya. Pasti tiada raya bagi keluarga Khairil ini. Bayangkanlah traumanya.

ii. Kota Baru. Seorang bapa menyembelih anaknya yang berusia 3 tahun. Gambaran abang-abangnya dan ibu mereka yang menangis tidak percaya dengan apa yang dialami mereka. Bayangkanlah trauma keluarga ini. Sudah pasti tiada istilah raya bagi mereka pada tahun ini.

iii. Marang. 2 beranak meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Bapa (31 tahun) dan anaknya (3 tahun). Kemalangan berlaku ketika sedang dalam perjalanan menemui isteri yang sedang sarat mengandung. Apalah perasaan si isteri ini?

iv. Ipoh.Seorang bayi terlibat nahas jalanraya dan tercampak keluar dari kereta. Umur bayi ini masih panjang. Menerima empat jahitan di kepala. Bayi ini masih berpeluang mengenali ibu dan bapanya.

v. Kuala Klawang: seorang suami kehilangan isteri dan 3 anaknya meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Suami ini dan seorang anaknya pula cedera parah. Entahlah bagaimana suami ini boleh menghadapi ramadan dan syawal yang menjelang.

Begitulah sekelumit kisah sehingga 15 Ramadan ini. Tidaklah kita ketahui apa yang bakal terjadi baki Ramadan ini. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Maka Rahmat-Nyalah kita dambakan dan kita pinta. Mudah-mudahan baki ramadan ini ditempuhi tanpa sebarang dugaan-NYA yang terlalu besar.

Al Baqarah ayat [286]
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

No comments: