Monday, August 30, 2010

Mensyukuri Kemerdekaan Ini

Saya anak pasca merdeka. Lebih tepat lagi 15 tahun sesudah merdeka. Cerita perjuangan bapa kemerdekaan, penderitaan di zaman Jepun, kelicikan British dan sumbangan British ke atas negara kolonialnya ini, penentangan Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan Rosli Dhobi hanya diperolehi daripada kitab-kitab sejarah.

Ayah saya juga seorang pejuang. Atas nama negara Malaysia, ayah juga pernah berjuang mengangkat senjata dan terlibat dengan operasi menghapuskan Komunis. Ayah pernah melihat rakannya hilang nyawanya dek peluru komunis. Walau masih kecil, sekilas gambaran masih jelas melihat air mata emak apabila menghantar ayah ke perbatasan. Apa lagi ayah dari Sabah berjuang di tanah melayu yang asing baginya.

Maka 31 Ogos setiap tahun bukan disambut sebarangan tanpa makna. Alkisah negara ini mendapat kemerdekaan tanpa titisan darah, ia sebenarnya penuh dengan kisah duka pejuangnya yang mati dan cedera dek erti kemerdekaan.

Apalah ceritanya dengan keturunan pejuang seperti Rosli Dhobi, Rentap, Mat Salleh, Tok Bahaman, Tok Janggut dan Mat Kilau. Senangkah mereka, susahkah mereka. Belum lagi kita dengar nama-nama ini dianugerahkan pingat kebesaran 'posthumous' oleh mana-mana raja, sultan atau YDPA. Tidaklah juga terpapar dalam peti televisyen dan Astro akan kisah perjuangan mereka. Entahlah. Mungkin mereka ini penderhaka?

Maka kita berjuang dengan pakej 'merdeka' ini untuk apa agaknya. Tongkat telah diberi. Jalan telah dibuka. Kemakmuran sedang dinikmati. Hanya mungkin perpaduan itu dihayati seadanya sahaja.

Maka mencari makna 'kemerdekaan' ini, adakah harga yang mahal terpaksa ditanggung kita. Mungkin bukan waktu saya.. entah mungkin waktu anak dan cucu saya nanti.. 'Na'uzubillah'....

Semoga negara ini kekal makmur, dicontohi dan dibanggai. Banggalah dengan negara ini. Negara ini tidak sama dengan Palestin, Pakistan, Afghanistan, Iraq, Iran, Indonesia, Filipin, Thailand, Mesir, Arab Saudi, Brunei, Bangladesh, Jordan. Malah MALAYSIA ini adalah lebih baik daripada negara-negara itu. Janganlah pula nak jadikan negara ini seperti negara-negara itu.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dengan penuh kesyukuran. Al Fatihah kepada semua anggota keselamatan negara ini yang telah gugur atau cedera menjaga kedaulatan dan kemerdekaan negara ini.

Alfatihah.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

No comments: