Friday, October 22, 2010

Islam untuk komersil

Apa jadi apabila banyak perkara yang dinisbahkan kepada Islam. Semasa saya mengaji dahulu, ada pelajaran yang dinamakan undang-undang kewangan Islam, undang-undang keterangan Islam, Islamic Jurisprudence (usul fiqh), muamalat Islam. Ada satu kursus pula dinamakan sebagai Undang-Undang Jenayah Islam. Hmmmmm!!!

Kini nama Islam sudah boleh dijadikan nama komersil. Pendidikan selalu dinisbahkan kepada Islam. Menjadikannya pendidikan Islam. Banyak lagi. Hiburan Islam. Busana Islam. Kesenian Islam. Fesyen Islam. Pentadbiran Islam. Negara Islam. Parti Islam.

Ada orang berjuang atas nama Islam. Ada orang berjuang seolah-olah kerana Islam. Ada orang berjuang menyangkakan dia berjuang kerana Islam. Ada berjuang atas nama Islam dengan ikhlas. Sebahagian pula kerana kekuasaan, pangkat dan harta. Semua atas nama Allah dan Islam.

Surah 49 (Al Hujurat) telah menukilkan:

(10)

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[11]

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
[12]

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[13]

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
[14]

Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
[15]

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
[16]

Katakanlah (kepada orang-orang “A’raab” itu wahai Muhammad): “Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` kami telah beriman ‘)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.
[17]

Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
[18]

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”.

Friday, October 8, 2010

Khutbah Jumaat

Lama sungguh saya tidak menaiki mimbar jumaat. Sehinggalah saya diberikan peluang semasa 1 syawal yang lalu untuk naik mimbar. Jumaat 8 Oktober 2010 ini juga, saya diberikan peluang sekali lagi. Saya tidaklah pandai. Ilmu agama saya juga sedikit. Peluang memberikan khutbah ini tidak ingin saya sia-siakan, justeru teks khutbah hari ini saya usahakan sendiri berdasarkan rujukan-rujukan yang mudah diperolehi pada zaman teknologi maklumat ini. Mudah-mudahan usaha sekelumit ini dapat menyemarakkan semangat dakwah islami saya yang dah lama padam.

Ini teks khutbah yang saya sediakan. Saya sediakan sesuai dengan jemaah yang akan mendengarnya.

SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT.

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melakukan segala yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Mudah-mudahan dengan sifat taqwa akan membawa kita hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah yang bertajuk: Mari Berinteraksi dengan Al Quran..

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA.

Al-Quran adalah mukjizat agong yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Naib Muhamad SAW. Nabi dan Rasul terakhir-Nya. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam, al-Quran ini hendaklah diimani tanpa ragu dan hendaklah dijadikan pegangan hidup . Allah berfirman dalam surah Al- baqarah, ayat 23-24:
"23. dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa Yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah Yang sebanding Dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang Yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang Yang benar.

24. maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) Yang disediakan untuk orang-orang kafir."

Al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk sentiasa membaca al-Quran, memahami kandungan al Quran, dan mengamalkan perintah yang dinyatakan dalam al-Quran, menjauhkan segala larangan yang dinyatakan dalam al-Quran dan mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Al-Quran ádalah panduan hidup kita. Melupakan al-Quran bermakna hidup tanpa panduan. Orang yang hidup tanpa panduan pula bermakna akan selalunya tersesat jalan. Dalam surah al-Baqarah ayat 2, Allah berfirman:

"2. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;"

Nada yang sama juga disebut di dalam surah Surah Ibrahim: Ayat 1:

"1. Alif, Laam, Raa'. ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan Dia kepadamu (Wahai Muhammad), supaya Engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - Dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji."

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN.
Oleh yang demikian, kita haruslah mempunyai kemahiran berinteraksi dengan al-Quran agar segala mutiara di dalamnya dapat digali dan digunaka. Bagaimana kita hendak berinteraksi dengan al-Quran? Dalam kesempatan khutbah yang ringkas ini maka saya turunkan beberapa langkah bagaimana hendak berinteraksi dengan al-Quran, mudah-mudahan akan mendapat manfaat kepada diri saya dan juga kepada diri para jemaah jumaat yang dimuliakan.

i. Kita perlulah ada kitab al-Quran itu sendiri. Malanglah kalau ada rumah-rumah di kawasan ini yang tidak mempunyai kitab al-Quran. Yang telah ada, bukalah kitab al-Quran ini setiap hari dan bacalah walaupun hanya satu huruf, atau satu ayat walau apapun perasaan kita pada ketika itu. Yang belum ada, carilah ia. Jika tidak mampu, datanglah ke masjid untuk membaca kitab al-Quran ini. Ada yang tidak pandai membaca al-Quran, maka belajarlah membacanya. Tidak perlu malu atau segan kerana al-Quran itu adalah sumber rujukan utama umat Islam.
AlIsraq: ayat 106. dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia Dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.

ii. Membaca al-Quran sahaja tidaklah mencukupi. Ini kerana al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa Arab. Bahasa yang amat indah. Bagi kita yang tidak menguasai bahasa Arab dengan baik, maka perlulah kita merujuk juga kepada kitab-kitab terjemahan dan tafsiran al-Quran. Inilah mukjizat al-Quran. Membaca terjemahan al-Quran juga boleh membukakan hidayah dan petunjuk kepada manusia. Cat Stephen seorang penyanyi terkenal 70an di England memeluk Islam setelah membaca terjemahan al-Quran di dalam bahasa Inggeris. Mudah sahaja, baca satu ayat , kemudian tengok maknanya. Berusahalah memahami ayat-ayat al-Quran sesuai dengan keadaan diri kita ataupun pengalaman yang pernah kita lalui. Janganlah hanya membaca tetapi tidak memahami apa yang dibaca seumpama keldai membawa buku. Hanya mendapat beban berat tetapi tidak memberikan manfaat kepada-nya. Firman Allah SWT dalam surah al Jumu’ah ayat 5:
5. (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan Dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) Yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai Yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum Yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang zalim.


iii. Gunakan dan amalkan doa-doa yang ada di dalam al-Quran. Begitu banyak doa disebut di dalam al-Quran. Jika boleh dihafal hafallah. Jika tidak, bacalah terjemahannya dan berdoalah menggunakan bahasa kita sendiri. Sebagai contoh:
a. Apabila kita melakukan perkara yang dilarang Allah tetapi menyedari kesilapan itu segera, bacalah doa nabi Adam di dalam surah al-’raf ayat 23:

23. mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

b. Jika kita takut kebingungan ketika hendak membuat keputusan, bacalah doa Nabi Syuaib di dalam surah al-A’raf: ayat 89
89. "Sesungguhnya (bermakna) Kami berdusta terhadap Allah, jika Kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan Kami daripadanya. dan tidaklah harus Kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. pengetahuan Tuhan Kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. kepada Allah jualah Kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara Kami dan kaum Kami Dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim".

iv. Selalulah mengikuti pengajian-pengajian untuk mendalami dan memahami al-Quran. Paling mudah tontonlah program-program agama yang banyak bersiaran di televisyen pada ketika ini. Jika ada rezeki yang lebih, belilah kaset atau CD-CD agama yang banyak dijual. Insya Allah, makin banyak pengetahuan yang diterima, kita akan lebih banyak dan kuat untuk berfikir dan semakin faham kita dengan tuntutan-tuntutan di dalam al-Quran. Banyak isu-isu yang disebut di dalam al-Quran memerlukan pemahaman. Tahukah kita di dalam al-Quran ada disebut kisah zulqarnain, ya’juj ma’juj, luqmanul hakim, kisah-kisah nabi Yusuf, Musa, Isa, Ya’aqub, Isa, Maryam. Al Quran juga menerangkan bagaimana kita hidup bermasyarkat, jika berurusan jual beli, afdal dilakukan secara bertulis, perintah solat atau sembahyang yang banyak disebut di dalam al-quran, tetapi tidak pula diterangkan secara teperinci bagaimana hendak bersolat sehingga kita perlu merujuk kepada hadith dan sunnah Rasulullah. Ini semua menuntut kepada ilmu pengetahuan. Benar seperti firman Allah di dalam surah Annahl ayat 43
43. dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu Bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN
Berdasarkan kepada kaedah-kaedah dan langkah-langkah yang telah diterangkan, maka saya menyeru supaya kita berusahalah untuk mencintai al-Quran dengan menjadikannya rakan yang paling akrab di sisi kita. Mudah-mudahan Allah akan menjadikan kita makhluqnya yang paling bertaqwa kepada-Nya. Dan bagi mereka yang bertaqwa akan dimudahkan oleh Allah swt sesuai dengan firman-Nya di dalam surah al Talaq; pada ayat 2
2. ... dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),

JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN
Sama-samalah kita berdoa:
Ya Allah terangilah hati kami dengan Al Qur’an, dan hiasilah akhlak kami dengan Al Qur’an, jauhkanlah kami dari api neraka dengan Al Qur’an, masukkanlah kami ke surgamu dengan Al Qur’an. Jadikanlah Al Qur’an sebagai teman di dunia, di dalam kubur sebagai penerang/teman , cahaya di atas titian (shirath), dan teman di dalam surga, dan penghalang dan hijab dari api neraka, sebagai petunjuk untuk segala kebaikan dan tetapkanlah kami dlm kesempurnaan , anugrahkan kepada kami kemudahan dlm mengamalkan Al Qur’an dgn hati dan lisan, senantiasa cinta kpd kebaikan, kebahagiaan, kegembiraan atau keindahan iman

Ya Allah rahmatilah kami dengan al Qur’an. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami lupa dan ajarkan bagi kami apa yang kami jahil. Karuniakanlah kepada kami untuk dapat membacanya sepanjang malamnya dan sepanjang siangnya. Jadikanlah ia perisai kami. Wahai Tuhan sekalian alam.