Tuesday, February 21, 2012

Landmark perubahan FELDA

Berita Harian melaporkan:

Nasib 112,635 peneroka ditentukan esok
 

2012/02/21

KUALA LUMPUR: Esok, 1,200 perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan menentukan masa depan nasib 112,635 warga peneroka dan hala tuju agensi itu sebagai sebuah organisasi perladangan terbesar dunia, dalam mesyuarat agung perwakilan khas KPF.

Mesyuarat itu yang diadakan di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab di sini, akan memperlihatkan perwakilan mengundi bagi meluluskan usul cadangan pelupusan pegangan 51 peratus milik KPF dalam FELDA Holdings Bhd, termasuk 10 anak syarikatnya kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).
Tujuan penjualan itu bagi membolehkan pemindahan aset perniagaan milik KPF kepada FGVH yang akan berfungsi sebagai entiti rasmi dalam organisasi perladangan itu menguruskan hal ehwal perniagaan.
Sebagai timbal balas, KPF yang mana 80 peratus ahlinya adalah warga FELDA, akan diberi hak eksklusif sebagai pemegang saham terbesar iaitu 37 peratus dalam FGVH apabila ia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mei nanti.

KPF kini memiliki 51 peratus pegangan dalam Felda Holdings, manakala baki 49 peratus lagi dimiliki FGVH, yang juga anak syarikat milik penuh FELDA.

Pemerhati pasaran berkata, penyenaraian FGVH adalah program transformasi untuk membawa perubahan strategik kepada perniagaan kumpulan FELDA ke tahap lebih tinggi bagi merealisasikan potensinya dalam mengkomersialkan hasil perladangan dalam aktiviti huluan dan hiliran di dalam dan luar negara.

Malah, katanya, penyenaraian FGVH bakal meletakkan sumber perladangan negara di peta dunia.
“Justeru, jika perwakilan membuat undian positif, maka sudah tentu masa depan peneroka akan terjamin berikutan hasil dividen dan saham yang dimiliki mereka dalam FGVH melalui KPF, dan jika mereka menolak, sudah pasti nasib peneroka tidak akan berubah,” katanya.

Bagi FGVH pula, pemerhati pasaran itu berpendapat cadangan penyenaraian syarikat berkenaan tetap diteruskan kerana ia tidak memerlukan sebarang persetujuan daripada peneroka mahupun KPF berikutan ia dimiliki sepenuhnya oleh FELDA.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, meminta ahli KPF berfikiran secara terbuka dan mengambil kira kepentingan jangka panjang kerana mereka boleh dianggap sebagai menolak tuah jika membantah usul cadangan penjualan 51 peratus saham milik KPF kepada FGVH.

“Andai mereka menolak cadangan (pelupusan) itu, boleh dikatakan mereka menolak tuah kerana saham majoriti yang sepatutnya diperuntukkan kepada KPF, bakal ditawarkan kepada agensi lain seperti Tabung Haji atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau kerajaan negeri yang berminat.

“Ini adalah tawaran yang menjanjikan pulangan besar kepada mereka untuk jangka panjang. Saya harap dan yakin 1,200 perwakilan ke mesyuarat agung khas ini akan meluluskan usul berkenaan,” katanya.

Ahmad Maslan berkata, perwakilan perlu memikirkan tiga faktor utama mengapa mereka perlu menerima usul itu, iaitu memastikan kelangsungan dividen tinggi, memastikan penguasaan penuh kepentingan peneroka dalam FGVH, selain ahli KPF dijamin tidak akan mengalami kerugian.

Kepada semua wakil ahli KPF yang akan mengundi esok hari, selamat membuat pilihan. Semoga pilihan yang dilaksanakan esok adalah berdasarkan kepada pertimbangan fakta, pro dan kontra, jumlah risiko dan pastinya telah disembahkan kepada Allah Ta'ala untuk pedoman akhir melalui solat istikharah dan hajat.

Selamat bersidang.

2 comments:

Unknown said...

Felda kecewa tindakan 8 peneroka

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Felda kecewa dengan tindakan lapan peneroka yang juga ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) menggagalkan koperasi itu menyertai cadangan penyenaraian Tawaran Awam Permulaan (IPO) dalam Felda Global Ventures Holdings(FGVH).

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, tindakan mereka menghalang KPF memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd. kepada FGVH menerusi injunksi mahkamah menyebabkan Lembaga KPF membatalkan mesyuarat agung luar biasanya (EGM) hari ini.

Apa yang dikesali, katanya, tindakan lapan peneroka terbabit sebenarnya dipengaruhi oleh motif politik pembangkang yang didalangi Pas melalui Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Namun, kata beliau, tindakan itu hanya merugikan peneroka dan FGVH akan tetap disenaraikan di Bursa Malaysia Mei atau Jun depan.

"Kami sangat hampa atas usaha berulang mereka untuk melaksanakan hak minoriti yang jelas sekali dipengaruhi pembangkang yang bertentangan dengan usaha keras majoriti ahli KPF, seterusnya menghalang ahli merebut peluang ini," katanya pada sidang akhbar khas mengenai perkara itu, di sini hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan sempena sesi taklimat beliau dengan sekumpulan peneroka yang pada asalnya hadir ke sini untuk menghadiri EGM KPF yang dijadualkan hari ini.

Bagaimanapun, EGM itu dibatalkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan minggu lalu yang membenarkan injunksi sementara oleh lapan peneroka Felda untuk menghalang KPF daripada memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd. dan 10 subsidiari Felda Holdings Berhad kepada FGVH.

Unknown said...

Penyenaraian FGVH diteruskan tanpa KPF

Oleh HUSSAINI AMRAN dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia yang dijadualkan pada Mei atau Jun depan tetap diteruskan walaupun tanpa penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, isu pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang sepatutnya dilangsungkan hari ini tidak menyebabkan proses penyenaraian tergendala.

Menurut beliau, sebuah syarikat khas akan ditubuhkan agar kepentingan peneroka dalam struktur baru FGVH selepas penyenaraian tetap terjamin.

''Bagaimanapun, saya tidak dapat terangkan secara lanjut tentang penstrukturan semula FGVH kerana ia melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

''Saya cuma boleh beritahu, pada masa ini, kita mulakan proses dokumentasi dan penghantaran maklumat kepada SC," katanya pada sidang akhbar sebelum sesi taklimat pelan kedua penyenaraian kepada perwakilan KPF dari seluruh negara di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Sesi taklimat tersebut diadakan secara tertutup bagi menggantikan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang dibatalkan berikutan mendapat perintah injunksi dari Mahkamah Tinggi Kuantan bertarikh 17 Februari lalu.

Jelas Mohd. Isa, pihak Felda menjangka bantahan yang ditimbulkan sebilangan kecil anggota KPF dan menyediakan pelan alternatif bagi memastikan penyenaraian FGVH berjalan lancar.

Beliau memberitahu, selepas penyenaraian FGVH, KPF masih kekal sebagai sebuah koperasi dan tetap membayar dividen setiap tahun kepada kira-kira 112,000 peneroka yang menganggotainya.

''Kita akan cari kaedah lain untuk gantikan KPF dalam FGVH. Peneroka tidak perlu bimbang dan saya akan beri penerangan kepada mereka agar lebih jelas," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kenyataan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berhubung siapa bakal menguasai FGVH, Mohd. Isa menjelaskan beliau tidak tahu tentang perkara itu.