Presiden baru Mesir mula tugas
2012/06/26
MOHAMED Morsi (kiri) menunggu di Ibu Pejabat Televisyen Mesir sebelum siaran langsung ke seluruh negara, semalam.
Morsi kelmarin, diisytiharkan pemenang pertama pilihan raya bebas presiden Mesir dalam sejarah modennya, berikutan pertandingan sengit dengan Perdana Menteri di bawah Mubarak, Ahmed Shafiq.
Beliau berikrar akan menjadi ‘presiden untuk semua rakyat Mesir.”
Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam mengucapkan tahniah kepada Mohamed Morsi berikutan kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden Mesir, lapor agensi berita SPA.
“Kami menghargai pilihan ini dan berharap Tuhan akan memberikan kejayaan dan membimbing anda mengikut ajaran Islam dan berkhidmat untuk Mesir dan rakyatnya,” kata laporan yang memetik raja itu.
Lima negara Teluk lain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain, Oman dan Qatar turut menyambut baik kemenangan Morsi selepas pengumuman kemenangannya.
Presiden Barack Obama turut mengucapkan tahniah kepada Mesir atas kemenangan Mohamed Morsi melalui satu panggilan telefon kelmarin dan berikrar sokongan Amerika Syarikat terhadap perubahan Mesir ke arah demokrasi, kata White House.
“Beliau menekankan kepentingan untuk bekerjasama dengan Presiden Morsi yang baru dilantik atas dasar saling menghormati, berkongsi kepentingan antara Mesir dan Amerika Syarikat,” kata White House.
Obama juga menggesa Ahmed Shafiq, calon yang tewas dalam pilihan raya presiden 16-17 Jun lalu dan menggalakkan bekas perdana menteri itu meneruskan peranan dalam politik Mesir dengan menyokong proses demokrasi dan bekerja sama untuk penyatuan negara.
Bagaimanapun Israel menyatakan kebimbangan Morsi dipilih sebagai presiden Mesir, di mana media dan pegawai memberi amaran mengenai kesukaran terhadap realiti baru itu.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengeluarkan satu kenyataan berhati-hati selepas Morsi diumumkan sebagai perdana menteri yang baru dilantik secara demokrasi.
“Israel menghargai proses demokratik di Mesir dan menghormati keputusan pilihan raya presiden,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
China juga mengucapkan tahniah kepada presiden Mesir yang baru dilantik itu dengan mengatakan Beijing menghormati pilihan rakyat Mesir. – AP
**************
Ramai memandang tinggi dan penuh minat dengan kemenangan wakil Ikhwanul Musilimin memenangi pilihanraya Presiden Mesir ini.
Tinggi harapan saya dengan Presiden baru ini. Semoga Mesir akan menjadi negara yang maju, bebas rasuah, dinamik dan kekal aman. Banyak yang perlu dilakukan untuk rakyat Mesir. Kadar pengangguran tinggi, rasuah tinggi, kemisikinan tinggi. Politiking yang maha hebat. Kuasa tentera yang amat berpengaruh.
Semoga rakyat mesir menemui jalan keluarnya.
No comments:
Post a Comment