KHUTBAH JUMAAT 25 MUHARAM 1431H/31 DISEMBER 2010M
MENGHADAPI TAHUN BARU
Oleh: Awang Suhaizam bin Bungso
SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT.
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melakukan segala yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Mudah-mudahan dengan sifat taqwa akan membawa kita hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah yang bertajuk: MENGHADAPI TAHUN BARU
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA.
Segala puji dan kesyukuran kepada Allah S.W.T yang telah memberikan kesempatan kepada kita untuk menghirup udara dan menikmati segala nikmat yang ada di buminya ini tatkala putaran tahun bakal berganti. 2010 masihi akan pergi. 2011 masihi akan muncul. Inilah yang dinamakan sebagai masa. Masa tidak akan berhenti dan akan terus bergerak. Tidak ada satu kuasa pun di dunia ini akan dapat menghentikan masa.
Justeru, tema tajuk masa ini dipilih pada khutbah kali ini bagi membolehkan kita semua merenung kembali dan bermuhasabah kembali, semoga masih ada kesempatan lagi untuk kita bertindak sebagai hamba Allah, sebagai khalifah di dunia ini dan bersedia untuk masa yang pasti berlaku iaitu lah ’masa mati kita’.
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian - 3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. (Surah al Asr 103: aya 1-3)165. dan Dia lah Yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya Yang lain beberapa darjat, kerana ia hendak menguji kamu pada apa Yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan Sesungguhnya ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-An’am 6: ayat 165)
19. dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada Yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara Yang Engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (surah Qaf 50: ayat 19)
JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN.
Tidaklah salah untuk menyambut tahun baru ini. Lakukanlah segala sambutan yang perlu asal tidak mengganggu jiran tetangga dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang jelas oleh Islam seperti berjudi, meminum arak dan berzina.
Hal yang paling penting ialah bagaimana hendak kita menghadapi tahun baru ini.
Izinkan saya mengemukakan beberapa panduan bagi kita menghadapi tahun baru dengan baik sesuai dengan keupayaan kita.
Yang pertama, menetapkan matlamat, sasaran peribadi atau keluarga pada tahun akan datang. Tetapkanlah apa sahaja sasaran untuk kita capai pada tahun 2011. Tak perlulah banyak. Tak perlu juga terlalu tinggi. Apa yang penting sasaran itu boleh kita capai berdasarkan keupayaan kita. Tulis matlamat atau sasaran itu dan letakkan ia di tempat yang mudah dilihat. Perihal menyediakan matlamat ini ada diungkapkan dalam surah alhasyr 59: ayat 18:
18. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan.
Matlamat atau sasaran ini bolehlah juga disamakan dengan niat. Solat seseorang tidak sah jika tidak berniat solat. Maka begitulah kita ini, tidak akan mencapai apa-apa jika kita tidak menetapkan apa-apa matlamat dan sasaran. Oleh itu, jadilah kita sebagai orang-orang yag rugi seperti disebut dalam surah al asr tadi. ”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian.”
Yang Kedua, setelah sasaran dan matlamat ditetapkan, aturkanlah bagaimana mahu mencapainya. Jadualkan pelaksanaannya. Jika boleh dilakukan sendiri, lakukanlah. Jika tidak boleh dilakukan sendiri, mohonlah bantuan daripada ahli keluarga, sahabat dan jiran. Ingatlah bahawa kehebatan kita sebagai manusia adalah bergantung sepenuhnya kepada diri kita sendiri.Itulah yang ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam surah al Ra’d 13: ayat 11
11. bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, Yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) Dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun Yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun Yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya.
Yang Ketiga, setelah puas berusaha sekeras-kerasnya dan pada bila-bila masa sepanjang hidup kita, hendaklah kita letakkan tawakkal kepada Allah S.W.T, tuhan yang maha berkuasa terhadap makhluq ciptaannya. Kerana Dialah yang menentukan pada akhirnya sama ada kita berjaya mencapai segala matlamat, sasaran dan cita-cita kita. Begitulah Allah mengajar kita melalui Rasulullah yang disebut di dalam surah ali Imran 3: ayat 159:
159. maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.
JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN
Mudah-mudahan tips ringkas pada khutbah jumaat pada kali ini dapat memberikan faedah kepada kita semua. Laluilah masa-masa yang diberikan kepada kita ini dengan sebaik-baiknya. Tahun baru yang kita sambut bermakna semakin pendek usia kita dan semakin dekat kita dengan alam kubur dan akhirat. Maka berusahalah kita mendapatkan keredaan Allah tapi tidak melupakan nasib kita di dunia yang kita adalah khalifahnya.
77. "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".
(surah al qashas 28: ayat 77)
No comments:
Post a Comment