Thursday, January 14, 2010

Membaca jambatan ilmu.

Rajin adik rajin
rajinlah belajar
bila besar nanti
boleh tunjuk ajar
ayah juga ibu
gembira selalu
melihat adikku
rajin baca buku.


























Friday, December 25, 2009

Tahniah

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua anak-anak yang telah berjaya mendapat keputusan yang baik dan cemerlang pada PMR yang baru keluar semalam.

Saya tujukan sekalung tahniah kepada anak saudara isteri yang telah berjaya mendapat 1A, 5B dan 2 C. Saya kira pencapaian tu baik. Walaupun saya tahu ada rasa kecewa kerana tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, ia adalah lebih baik daripada rakan-rakan yang dapat lebih rendah daripada itu. Tak mengapa. Kerana apalah juga dengan PMR. Hanya tekad dan semangat kenalah juga dikuatkan bagi mengharungi SPM yang bakal menjelang selang 2 tahun akan datang.

Saya juga tujukan sekalung tahniah kepada rakan saya Luqman Ridha Anuar yang anaknya telah mendapat 8A dalam PMRnya. Saya nampak rasa bangga dan gembiranya. Menjadi bapa tunggal dalam membesarkan anaknya dan menuai hasil seperti ini tentunya memuaskan. Semoga kejayaan seperti ini akan diperolehi pada SPM yang akan datang.

Ibu bapa mana yang tidak bangga dengan anaknya. Ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan anaknya. Semoga anak yang dikandung, ditatah, dibelai dan dibesarkan itu menjadi insan yang berjaya dan berguna hidupnya di dunia dan di akhirat.

Amin!

Sunday, December 20, 2009

Ibadurrahman

Surah Al Furqan-Ayat 63-77

63. Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini;

64. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari Dengan sujud dan berdiri

65. Dan juga mereka Yang berdoa Dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah mengerikan.

66. Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal Yang amat buruk

67. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.


68. Dan juga mereka Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;

69. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam azab itu Dengan menerima kehinaan, -

70. Kecuali orang Yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal Yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka Dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

71. Dan sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya Dengan sebenar-benar taubat;

72. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya.

73. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang apabila diberi peringatan Dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang Yang pekak dan buta.

74. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa.

75. Mereka itu semuanya akan dibalas Dengan mendapat tempat Yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan Selamat di dalamnya,

76. Mereka kekal di Dalam syurga itu; amatlah eloknya syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

77. Katakanlah (Wahai Muhammad kepada golongan Yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa Ibadat kamu kepadanya; (apabila kamu telah mengetahui Bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka Sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (Ketetapan Tuhanku itu); Dengan Yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu".
Bagi mereka yang masih tercari-cari apakah azam tahun baru 1431H/2010 nanti, bacalah ayat-ayat pada surah al-Furqan ini, semoga saudara dan saudari dapat menanamkan sifat-sifat orang yang diredhai oleh Allah ini. Insya Allah.

Thursday, December 3, 2009

Hospital Umum Sarawak.. revisited

Setelah satu tahun meninggalkan wad ortopedik di Hospital Umum Sarawak, saya kembali semula pada hari ini (khamis) untuk menemani dan memberikan sokongan dan semangat kepada isteri saya di sini. Isteri saya ditemani oleh anak buahnya Ana, telah berada di Hospital Umum Sarawak ini semenjak hari isnin yang lalu.


Dia telah mengadu ketumbuhan yang memang ada di lengan kirinya semenjak awal tahun lepas agak membesar dan menyebabkan rasa sakit. Hari ini adalah jadualnya untuk membuang ketumbuhan yang ada.

Kes-kes sebegini (kanser tulang/otot/ketumbuhan seumpamanya) memang akan dirujukkan di sini. Ini kerana pakarnya di sebelah Borneo ini hanyalah ada di Kuching Sarawak.

Syukur al hamdulillah, pembedahan berkenaan telah selesai. Selain keadaan isteri yang muntah-muntah selepas pembedahan kesan sampingan bius dan rasa sakit di lengan kesan pembedahan tersebut, semuanya selamat. Kena tunggulah esok untuk Prof Pang, Dr yang merawat isteri saya ni tengok dan periksa dan bagitahu apa perkembangannya.

He he..

Isteri dah tidor. Anak buahnya pun dah tidor di alas tidur yang saya bawa tadi. Terlupa pulak untuk diri sendiri. Tidur di lantai beralaskan selimutlah nampaknya.

Assalamualaikum.

Thursday, November 26, 2009

Selamat Menyambut Aidil Adha

Saya dan bagi pihak keluarga saya ingin mengucapkan selamat hari raya korban kepada semua ahli keluarga, sahabat dan kenalan sekalian.


Tahun ini ada ahli keluarga, sahabat dan kenalan yang telah berada di tanah suci Makkah menunaikan ibadah haji. Pak cik Bungsu Aziz, Saudara Zawawi Tiyunin, Dg Maimunah, Encik Hela Ladin dan Prof Madya Dr Shariff Omang. Semoga mendapat haji mabrur. Insya Allah.

Friday, November 20, 2009

CUTI SEKOLAH DAH !!!!

Musim cuti sekolah dah tiba. Anak-anak seronok sangat. Tak perlu bangun awal lagi. Boleh main PS2. Boleh tengok TV. Tak payah ke sekolah.

Jalan-jalan sempena cuti sekolah? Sehingga ini saya tidak ada rancangan. Sebabnya senang. Cuti saya kena dibatalkan kerana kena ikut PTK dan kerja yang banyak tak pandai habis-habis.

Buat anak-anak, selamat bercuti.

Lepas ni kena fikirkanlah jugak apa program nak dibuat bagi mengisi cuti sekolah ini.

Thursday, November 19, 2009

Seronoknya anak-anak kecil tu..

Pencapaian UPSR Meningkat - Alimuddin

PUTRAJAYA: Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini.Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas," katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

Di SABAH, sebanyak 9ll calon merekodkan pencapaian cemerlang gred 5A bagi semua subjek yang mencatatkan penurunan berbanding 995 calon pada tahun lepas.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan negeri Sabah Md Nor Md Sharif berkata Sekolah St Francis Convent, Kota Kinabalu muncul sekolah terbaik dengan 41 calon mendapat 5A diikuti Sekolah Yuk Chin di Tawau dengan 29 calon.

"Antara sekolah-sekolah lain yang mempunyai rekod cemerlang adalah SK St. Agnes, Kota Kinabalu iaitu seramai 30 calon, SK. St Monica, Sandakan sebanyak 27 calon seterusnya SK St. Patrick, Tawau iaitu 26 calon," katanya. BERNAMA 19 November 2009

Saya mendapat maklum di SK Tobobon, tempat anak saya belajar 19 pelajar UPSR telah berjaya mendapat 5A. Tahniah diucapkan kepada pelajar berkenaan, ibu bapa mereka dan juga kepada guru yang mengajar mereka ini.

Fakry, anak buah sebelah isteri saya juga telah menerima keputusan UPSR-nya. Tahniah juga tak kiralah apa keputusannya.

Usaha tangga kejayaan. Pergi ke sekolah dengan harapan, balik dengan kejayaan.

Yang keputusannya kurang menggembirakan.. usaha lagi.. masih banyak peluang.. tapi kenalah belajar daripada pengalaman ini...